Pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengajak pihak yang mengkritiknya bersemuka berhubung pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Idham berkata dia mengambil positif setiap kritikan terhadapnya, termasuk daripada Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).
“Saya tak salahkan sesiapa. Cuma saya tak mengenali siapa Komfit. Saya juga tak pasti apakah mereka terdiri daripada nama-nama besar dalam platform hiburan tempatan.
“Tapi saya tetap bersikap positif dan nak jadikan perkara senang, justeru, saya ajak mereka bertemu secara terbuka di Finas pada bila-bila masa,” katanya yang berhasrat meredakan keadaan.
Pelantikan Ahmad Idham, 45, sebagai CEO Finas diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam kenyataan media semalam.
Bagaimanapun, keputusan itu dipertikai Pengasas Komfit, Al Jafree Md Yusop yang menggesa Gobind segera menjustifikasi dasar pelantikan tersebut.
Al Jafree berkata, Gobind perlu menilai merit karyawan seperti Ahmad Idham sebelum memilihnya menyandang jawatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Idham yang dikenali sebagai pengarah dan pelakon itu berkata, tidak ada prosedur operasi standard (SOP) tertentu dalam sesuatu pelantikan jawatan tertinggi di Finas.
Bagaimanapun, katanya, jawatan itu tidak diperoleh begitu saja, sebaliknya dia melalui beberapa proses yang dianggapnya bukan mudah.
“Saya perlu melalui temu bual dan sesi pembentangan hala tuju yang ingin dibawa kepada pihak berkenaan,” katanya.
Kata Ahmad Idham yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun sebagai penggiat seni itu, pihak yang berpandangan negatif kepadanya wajar membuka ruang dan peluang agar beliau boleh membuktikan kemampuan yang ada.
“Tapi tidak, langsung tak diberi peluang untuk buktikan sama ada dia atau saya yang salah. Tugas saya sekarang adalah untuk memajukan dunia seni tanah air.
“Ini merupakan satu pencapaian dalam karier saya untuk membantu perkembangan arena seni kita. Perkara ini sudah lama saya perjuangkan.
“Sekarang tunggak pelaksanaan itu sudah ada dalam tangan, fokus saya seterusnya adalah untuk melaksanakan misi Finas ke satu tahap berlainan,” katanya.