Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Didakwa jadi broker pelacur, kontrak Seungri ditamatkan
Diterbitkan:  Mar 13, 2019 4:57 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Agensi pengurusan kumpulan K-pop popular, Big Bang menamatkan kontrak Seungri yang kini menjadi suspek dalam siasatan polis berhubung dakwaan mengatur perkhidmatan seks kepada pelabur berpotensi.

Syarikat YG Entertainment berkata, ia juga memohon maaf kerana gagal menguruskan penyanyi berusia 28 tahun itu yang pada Isnin lalu sudah mengumumkan untuk bersara dari dunia hiburan.

“Kami memohon maaf kepada peminat dan umum kerana menimbulkan keraguan.

“Berhubung pengumuman Seungri ingin bersara, kami menerima permintaannya untuk menamatkan kontrak eksklusif itu,” menurut kenyataan dipetik The Korea Herald.

Seungri pada Isnin lalu secara drastik mengumumkan tidak lagi mahu terus berada dalam persada seni.

Anggota termuda Big Bang itu membuat keputusan berkenaan selepas dia disyaki dan disiasat atas kesalahan melanggar undang-undang pelacuran Korea Selatan.

“Saya rasa baik saya meninggalkan dunia hiburan pada waktu ini.

“Saya tidak mahu menyebabkan lebih banyak kerosakan kepada orang di sekeliling saya apabila dibenci, dan dikecam umum serta dilayan seperti musuh negara semasa dalam siasatan,” katanya di Instagram.

Hasil siasatan, polis mengesyaki Seungri atau nama sebenarnya Lee Seung-hyun telah membekalkan perkhidmatan seks kepada para pelaburnya di sebuah kelab malam di Seoul.

Tuduhan jenayah itu juga membawa kepada pendedahan mengejutkan mengenai seorang lagi penyanyi, Jung Joon-young yang berkongsi video dia melakukan hubungan seks dengan wanita.

Rakaman itu kemudian dikongsikan dalam kumpulan perbualan telefon yang  turut disertai Seungri.

Kedua-dua penyanyi terbabit akan dipanggil untuk membantu siasatan esok.

“Sebagai agensi pengurusan, YG menerima dan mengakui menyesal akibat kegagalan menguruskan Seungri secara menyeluruh.

“Secara serius, YG berasakan perlu memperbaiki prinsip asas dan berjanji berusaha untuk ke arah itu,” kata kenyataan itu lagi.

Selain tuduhan terbabit aktiviti pelacuran, Seungri yang bertindak sebagai pegawai eksekutif kelab elit Burning Sun turut didakwa terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan merasuah polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS