Penggiat tarian tradisional Mak Yong menganggap gesaan wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar
larangan ke atas tarian itu ditarik semula boleh menjejaskan usaha sedia
ada untuk membolehkan tarian itu dipersembahkan di khalayak ramai di Kelantan.
Rosnan Rahman yang merupakan satu-satunya penari mak yong lelaki di negara ini, atau lebih dikenali sebagai Pak Yong berkata, walaupun Kelantan mengharamkan tarian Mak Yong, Menora dan Main Puteri ketika ini, persembahan kebudayaan itu masih dibolehkan dengan beberapa syarat digariskan kepada penganjur.
“Tahun lalu, Kelantan menjemput kita (penari Mak Yong) menghadiri sebuah majlis, malah kami telah mempersembahkan tarian itu beberapa kali di negeri ini,” katanya kepada Malaysiakini.
Jelas Rosnan, antara syarat itu ialah ia dipersembahkan oleh penari lelaki atau wanita pada satu-satu masa dan tidak mengandungi unsur menyimpang daripada Islam, seperti bersifat khurafat dan syirik.
Menurutnya, ketika ini terdapat perbincangan berterusan antara pengamal tarian tradisional dan kerajaan negeri agar larangan ke atas Mak Yong ditarik semula.
Rosnan juga percaya perbincangan itu akan mencapai persetujuan dalam masa terdekat.
“Jika kerajaan negeri bimbang percampuran secara bebas antara penari di pentas, kita boleh mempersembahkan tarian itu dengan menampilkan satu gender saja.
“Jika mereka bimbang pergaulan bebas antara penonton lelaki dan perempuan pula, kita boleh asingkan satu gender di sebelah kiri, manakala lagi satu di sebelah kanan.
“Kita terbuka untuk membincangkan garis panduan persembahan. Apa yang penting adalah untuk memastikan tarian ini hidup. Ia akan menjadi sia-sia jika membiarkanya pupus,” katanya.
Semalam, pelapor PBB Karima Bennounce menggesa Kelantan untuk membatalkan larangan ke atas Mak Yong, wayang kulit dan lain-lain bentuk persembahan tradisional Melayu.
"Malaysia terkenal dengan persembahan dan amalan tradisional yang luar biasa. Saya fikir amat memalukan jika budaya ini diharamkan di negeri asal ia dilahirkan.
“Sebaliknya, budaya yang kaya tradisi ini seharusnya diraikan dan dihargai kerana ia satu daripada seni persembahan tertua di dunia.
“Justeru saya berharap larangan itu akan diangkat secepat mungkin,” katanya dipetik Malay Mail Online.
Kelantan sebelum ini secara rasmi mengharamkan persembahan tradisional yang dianggap mengandungi unsur bertentangan Islam.
Sementara itu, Rosnan menegaskan agar salah faham terhadap Mak Yong diperbetulkan.
“Persembahan Mak Yong itu kaya dengan falsafah dan metafora. Ada pihak yang salah faham tentang tarian Mak Yong dan ini memerlukan penjelasan supaya ia tak disalahertikan.
“Kita perlu membincangkan perkara ini dengan pihak yang sewajarnya," katanya sambil menambah Mak Yong masih hidup di Kelantan tetapi penggeraknya melaksanakannya di belakang pintu.
Rosnan akan akan mengadakan persembahan Mak Yong Raja Besar Maha Gading pada 11 hingga 13 Oktober ini di Istana Budaya di Kuala Lumpur.