Paling Popular
Terkini

Penganjur Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) memberi peluang kepada pihak yang berminat menghantar penyertaan untuk temasya itu biarpun sudah melepasi tarikh tutupnya.

Pengarah FFM30, Abdul Khalid Maulod berkata, tarikh akhir untuk penganjur menerima pencalonan ialah 31 Disember tahun lalu, namun mereka tetap menerima penyertaan hingga akhir Januari tahun ini.

“Kita sudah memaklumkan awal untuk menjemput pengkarya menghantar filem mereka.

“Namun, kita terima juga penyertaan yang dihantar Januari lalu sebab nak beri peluang mereka bertanding.

“Kira-kira dua, tiga filem yang diterima pada waktu itu,” katanya.

Abdul Khalid ditemui pada sidang media pengumuman FFM30 di sebuah hotel di Hartamas, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, bagi yang tidak berkesempatan, mereka digalakkan untuk menghantar penyertaan tahun hadapan.

Pengarah FFM30, Abdul Khalid Maulod

FFM30 akan menyaksikan 42 filem bertanding bagi merebut trofi utama iaitu Anugerah Filem Terbaik pada acara yang akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya 30 Mac ini.

Daripada jumlah itu, 25 buah filem adalah berbahasa Malaysia.

Manakala filem berbahasa Kantonis sebanyak dua buah, Mandarin (lapan buah) dan Tamil (tujuh buah).

Untuk kategori anugerah, sebanyak 24 yang dijurikan manakala tiga lagi adalah anugerah khas.

Antara filem hebat yang dipertandingkan pada FFM30 kali ini adalah Pulang, Polis Evo 2, KL Special Force, Munafik 2, Dukun, Paskal, Hantu Kak Limah, Tombiruo, Langsuir dan One Two Jaga.

Bagi pengumuman Top 5 semua 24 kategori termasuk kategori utama seperi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Terbaik, ia dijangka diumumkan Isnin depan.

Pada majlis pengumuman FFM30 tadi, Abdul Khalid turut mengumumkan pengacara pada malam kemuncak itu ialah Nabil Ahmad dan Adibah Noor.

Selain itu, dia turut mengumumkan senarai artis penyampai anugerah dan yang akan membuat persembahan.

Acara akan bermula jam 9 malam di saluran Astro Ria dan Ria HD.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS