Muhammad Riduan yang merupakan bekas pemandu Rozita Che Wan hari ini mengesahkan gajinya sudah dibayar oleh pelakon berkenaan.
Memaklumkan perkara itu di Facebook, permuda tersebut berkongsi slip pembayaran berjumlah RM2,000.
“Alhamdulillah kes saya ni dah settle (selesai) dengan berkat doa dan bantuan anda semua gaji saya untuk bulan Februari dan saman nombor plat kenderaan Che Ta dah settlekan..
“Terima Kasih untuk segalanya tanpa anda semua tak mungkin saya mampu hadapi seorang diri,” katanya.
Muhammad Riduan juga meminta warganet untuk berhenti melemparkan kecaman kepada bekas majikannya itu.
“Saya ingin meminta jasa baik semua untuk berhenti mengencam Che ta kerana dia sudah menyelesaikan apa yang patut dia selesaikan,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Riduan berkata, dia tidak dapat menunaikan hasrat Che Ta yang memintanya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana berpendapat isu tersebut bukan berpunca daripadanya.
“Dia meminta saya untuk membuat pengakuan maaf secara terbuka yang akan diberi kepada peguamnya untuk menjelaskan penyelesaian perkara ini tetapi saya mengikut nasihat dari abang Helmy Nordin untuk tidak membuat pengakuan maaf secara terbuka itu oleh kerana itu bukan salah saya,” katanya.
Muhammad Riduan berharap isu yang terjadi dijadikan iktibar oleh mana-mana majikan supaya tidak mengulangi kesilapan sama.
“Untuk peringatan majikan mana-mana sahaja di luar sana ambillah apa yg terjadi pada saya ini sebagai pengajaran dan jangan ingat kami sebagai pemandu ni tiada maruah dan bukannya hamba abdi yang boleh dipergunakan sesuka hati tanpa kerelaan,” katanya.
Terdahulu, pengguna media sosial tampil menyelar Che Ta yang didakwa tidak membayar gaji kepada seorang bekas pemandunya.
Rata-rata warganet berpendapat, biar seteruk mana prestasi ditunjukkan oleh seseorang pekerja, majikan diharuskan membayar wang setimpal hasil titik peluh yang dicurahkan.
“Gaji tetap gaji...kecuali dia blah macam tu je memang tak payah bayar gaji... aku dah 20 tahun kerja makan gaji...boleh lah faham bab-bab gaji ni.
“Kalau kehadiran teruk pun tetap kena bayar gaji, kecuali dia ponteng, cuti tanpa gaji, memang kena potong,” kata pengguna akaun Facebook Rosmaliza Deris.
Semalam, Muhammad Riduan tampil menyelar dan mendakwa dia tidak menerima gaji seperti dijanjikan daripada Rozita atau lebih mesra dipanggil Che Ta.
Pemuda terbabit meluah kekesalan dan mendakwa dia dilayan seperti pengemis ketika cuba menuntut wang hasil titik peluhnya itu.
“Aku haramkan setiap penat lelah aku dari pagi sampai ke malam kau tak nak bayar gaji aku…
“Allah dengar doa orang teraniaya macam aku ni. Aku harap perniagaan kau karier kau akan jatuh sampai kau terduduk…
“Macam pengemis aku jadinya kau buat aku minta gaji dengan kau, kau kata aku macam-macam untuk taknak bayar gaji,” katanya.
Selain membela Muhammad Riduan, segelintir netizen juga memberi cadangan dan menggesa pemuda tersebut supaya membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja.
Sementara itu, Che Ta, 45, melalui Insta Story mendakwa prestasi dipamerkan pemuda terbabit teruk.
Pelakon drama Kiah Pekasam itu juga mengesyaki pemuda itu pernah mengambil bahan terlarang ketika sedang bekerja.
“Kau kerja macam t***. Kau nak aku viralkan ke macam mana kau kerja, apa kau ambik, apa kau buat malam-malam sampai bawa kereta sambil tidur!
“Bila kau hidup susah, jangan salahkan orang lain, tanya diri sendiri macam mana kau kerja,” katanya.
Bagaimanapun, Che Ta tidak menyebut nama individu terbabit secara langsung, namun ia dipercayai ditujukan kepada bekas pemandunya yang terlebih dahulu memuat naik kenyataan berhubung isu itu di media sosial.
Malaysiakini sudah cuba menghubungi kedua-dua individu untuk mendapatkan keterangan lanjut berhubung isu terbabit.