Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bob, rakan sedia berkorban demi Reunion 15 Tahun AF2

Segala usaha - dan mungkin wang ringgit sendiri - akan rela dicurahkan demi menunaikan impian melaksanakan Showcase Reunion 15 Tahun Akademi Fantasia 2 (AF2), kata penyanyi Bob Yusof.

Kata Bob, walau apa jua keadaan, persembahan yang sudah dirancang sejak 2014 itu tidak boleh ditangguh-tangguh lagi.

Antara kekangan yang mungkin menyulitkan, katanya, termasuk gagal mendapat tajaan.

Jika itu berlaku Bob berkata semua pihak yang terbabit sudah bersedia menjayakan persembahan tersebut mengikut kemampuan masing-masing.

“Macam mana pun saya akan usahakan sehabis baik demi 11 bekas peserta AF2. Sebabnya, sudah lama kami impikan perjumpaan semula ini.

“Jika kurang atau tiada penaja, ini bermaksud kami akan cuba jayakan juga persembahan itu mengikut kemampuan yang ada," katanya.

Bagaimanapun kata Bob jika keadaan itu berlaku pasti terdapat kekurangan di sana sini kerana tidak semua rancangan asal dapat dijayakan.

Kali ketiga baru berjaya

Bob atau nama sebenarnya Yusrizan Usof ditemui pada sidang media di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, bekas pelajar AF2 iaitu Zahid, Linda Nanuwil, Adam, Anding dan Fitri.

Penyanyi lagu Terbuang Dalam Pelukan itu berkata, dia sebelum ini pernah mengusulkan persembahan bersama sebanyak dua kali, namun hasratnya tidak kesampaian ekoran masing-masing terikat dengan komitmen sendiri.

“Saya pernah usulkan pada 2014, bersempena 10 tahun dalam dunia seni, namun tak dapat dilakukan.

“Kemudian saya usulkan lagi pada ulang tahun ke-12, tetapi sekali lagi niat itu tidak dimakbulkan.

“Akhirnya sempena ulang tahun ke-15, barulah impian itu tercapai apabila semua rakan AF2 memberikan persetujuan dan komitmen untuk menjayakan persembahan,” katanya.

Adam

Ditanya apakah relevan persembahan itu seiring dengan tahap populariti yang ada, Bob, 37, menjelaskan ia bakal membuka ruang baru untuk peminat generasi muda mengenali mereka.

“Sasaran kami sudah semestinya 60 peratus kepada peminat yang mengenali kami, tetapi selebihnya diharap dapat menarik perhatian generasi muda,” katanya.

Bagaimanapun, mereka belum bersedia menyatakan tarikh persembahan itu sebaliknya akan dikongsikan pada masa yang dirasakan sesuai.

Buat masa ini kata Bob lokasi yang dirancang ialah di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic).

“Insya-Allah semuanya dijangka berlaku pada bulan Ogos depan, sekiranya tiada aral, kami bercadang untuk mengadakan persembahan selama dua malam berturut-turut di MaTic," katanya.

Bob berkata, selain berhibur, ada peratusan daripada hasil jualan tiket akan disalurkan kepada tiga badan kebajikan.

AF2 merupakan sebuah program realiti yang mula bersiaran pada 7 Jun 2004 menerusi saluran Astro Ria selama 10 minggu.

Peserta lain yang turut berada di pentas AF2 adalah Kaer, Edlin, Zarina Zainoordin, Nurul, Mas, dan Farah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS