Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof Dr Mohd Rizon Juhari, kini berehat daripada tugasnya di institusi pengajian tinggi tersebut.

Difahamkan, langkah itu diambil melalui sepucuk surat daripada beliau bertarikh 1 Mac lalu.

Melalui surat yang dilihat Malaysiakini itu Mohd Rizon memberitahu pegawai kanan Aswara beliau akan mula bercuti pada 4 Mac.

Sepanjang percutian tersebut, kata Mohd Rizon, tugas berkaitan di Aswara akan dijalankan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Aswara, Raja Nor Sheela Raja Aziddin.

Mohd Rizon yang dihubungi Malaysiakini enggan memberi sebarang komen.

Bagaimanapun ada pihak tertentu mendakwa sebenarnya Mohd Rizon diarahkan bercuti sehingga tamat sesi sidang parlimen akan datang, atau sehingga keputusan rayuannya di mahkamah selesai.

Nama Mohd Rizon asalnya menjadi perhatian selepas dia disaman di mahkamah atas dakwaan melakukan kenyataan berunsur gangguan atau komen seksual.

Tunggu kenyataan menteri

Selepas dibicarakan Mohd Rizon diarah membayar ganti rugi lebih RM80,000 kepada bekas kakitangan Aswara yang mengemukakan saman tersebut.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur N Kanageswari pada 27 Sept membuat keputusan tersebut selepas membenarkan tuntutan plaintif.

Beliau menetapkan Mohd Rizon perlu membayar ganti rugi am berjumlah RM50,000, ganti rugi teladan RM20,000. Dia juga diperintah membayar kos guaman sebanyak RM15,000.

Bagaimanapun Mohd Rizon mengemukakan rayuan dan kes tersebut dijangka akan didengar pada April ini.


Baca Rektor Aswara: Teruknya fitnah zaman sekarang


Pelbagai pihak kemudian mengemukakan bantahan apabila Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyambung kontrak Mohd Rizon sebagai rektor di Aswara.

Menterinya Mohamaddin Ketapi berkata kerajaan tidak boleh menamatkan atau menggantung tugas penjawat awam sewenang-wenangnya di negara ini kerana ia tetap tertakluk di bawah undang-undang.

Katanya sehingga aspek perundangan itu dipatuhi, kementerian terbabit tidak boleh mengambil sebarang tindakan.

Mengulas laporan Malaysiakini sebelum itu, Mohamaddin berkata berkata isu yang dikaitkan dengan Mohd Rizon adalah kes sivil dan bukannya jenayah.

"Kita perlu melalui dan menghormati proses perundangan tersebut, dan buat masa ini tiada sebarang tindakan yang boleh diambil,” katanya kepada Malaysiakini

Sementara itu dihubungi Malaysiakini hari ini, pejabat Mohamaddin berkata, menteri terbabit kini sedang melakukan lawatan kerja di Jerman.

Katanya Mohamaddin akan memberikan kenyataan apabila pulang semula ke negara ini tidak lama lagi.

Pejabat Perhubungan Awam Aswara yang dihubungi juga enggan mengulas dan meminta Malaysiakini menunggu kenyataan rasmi daripada menteri.

Untuk rekod pada 21 Feb lalu seorang lepasan Aswara melancarkan petisyen dalam talian untuk mendesak perkhidmatan Mohd Rizon ditamatkan.

Petisyen itu mencapai lebih 4,500 tandatangan sejak ia dilancarkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS