Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Santesh cuba nasib ketengah bakat ke Indonesia

Walaupun bukan berbangsa Melayu, tidak ada sebab mengapa penyanyi Santesh tidak boleh diketengahkan untuk pasaran Indonesia, kata syarikat Datu Entertainment.

Malah kata pengarah urusan syarikat itu, Rumhadi Rumnan, kelainan itu jugalah yang memberikan Santesh aura istimewa dan boleh menarik perhatian ramai.

Kata Rumhadi, dengan keadaan begitulah - serta kemampuan Santesh menyanyikan lagu Melayu dengan baik - Datu Entertainment mahu membawa Santesh ke Indonesia.

Bagi Rumhadi, muzik diketengahkan Santesh - yang turut menampilkan genre dangdut - menguatkan lagi kenyataan itu.

“Kita sedia maklum pasaran dangdut di Indonesia sangat besar, justeru saya yakin dengan kualiti vokal dimiliki Santesh, dia mampu membeli jiwa pendengar di sana.

“Tambahan pula, dia seorang lelaki India yang boleh menyanyi lagu bahasa Melayu dengan baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Mymuna di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya mengapa Indonesia dijadikan ‘sasaran,’ Rumhadi berkata, Duta Entertainment sudah membuka cawangan di negara jiran itu, selain mereka juga mempunyai platform digital di sana.

Sementara itu Santesh pula berkata, dia sememangnya sudah lama bersedia untuk melebarkan sayapnya ke negara jiran, apatah lagi selepas menyaksikan lagu bahasa Melayu pertamanya, Amalina, meledak bagai pisang goreng panas di negara ini. 

 “Tahun lepas kami ada pergi ke Surabaya dan banyak menerima reaksi positif dari pendengar muzik Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Datu Entertainment, Raja Mohammad Amin, berkata pihaknya sedang giat memperkenalkan bakat Malaysia di Indonesia.

Katanya, memang pasaran Indonesia sukar ditembusi namun dengan adanya kenalan dan hubungan baik, ia dapat dipermudahkan.

“Alhamdulillah kami ada rakan di sana dan Rumhadi juga boleh berbahasa Indonesia.

"Sebelum ini, pernah semasa tiba di lapangan terbang Surabaya, ramai peminat melaung-laungkan nama Santesh, dari situ kita tahu penerimaan untuk penyanyi itu cukup baik di sana.

“Saya bangga apabila orang kita boleh masuk pasaran luar, cuma kita perlu berusaha menarik perhatian mereka dengan memperkukuh gabungan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS