Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ayda tak rela pelakon 'diikat' penerbit, pengarah

Seseorang artis yang berkecimpung dalam dunia seni harus diberikan ruang dan peluang untuk mengekspresikan kreativiti tanpa batasan.

Justeru, bagi Ayda Jebat, penerbit atau pengarah tidak seharusnya mengikat seseorang pelakon hingga mereka tidak boleh bekerja dengan pihak lain.

“Penerbit atau sesiapa saja tidak mempunyai hak ke atas mana-mana pelakon iaitu menghalang selebriti tersebut daripada kerja dengan orang lain selain mereka,” katanya.

Ayda berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Anas Cosmetics di Flora Terrace, Kuala Lumpur kelmarin.

Ayda mengaku dia teruja dipilih menjadi duta produk berkenaan kerana ia dihasilkan pengusahanya, Mohamad Anas Zahrin Atan yang juga merupakan seorang kenalan sejak lapan tahun lalu.

Mengulas lanjut, pemilik nama asal Nur Suhada Jebat itu berkata, bagi mengelak daripada dikongkong, seseorang artis itu wajar menyuarakan keinginan mereka.

“Kita ada hak untuk cakap nak jalani penggambaran dengan penerbit lain supaya kita tahu dunia luar yang wujud selain daripada produksi berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Ayda juga diminta mengulas dakwaan perselisihan faham yang muncul baru-baru ini antara seorang penerbit dengan seorang pelakon.

Kejadian bermula apabila penerbit terbabit meluahkan kata-kata berbentuk sindiran, yang dimuat naik di media sosial. Ia dipercayai ditujukan kepada pelakon itu yang membintangi drama terbitannya.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang penjelasan lanjut daripada kedua-dua belah pihak berhubung perkara berbangkit.

Ditanya sama ada isu terbabit sengaja diada-adakan bertujuan memberi publisiti kepada drama yang sedang ditayangkan di sebuah syarikat televisyen itu, Ayda, 26, bagaimanapun menolak perkara sedemikian.

“Drama itu tak perlu sebarang gimik kerana kisah yang dihidangkan sudah cukup untuk menarik perhatian penonton,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ayda berkongsi dia bakal menerbitkan sebuah album terbaru yang membariskan 10 lagu, hasil cetusan kreatif bersama komposer dari Indonesia, Irwan Simanjuntak.

“Dalam album itu saya tampilkan genre balada. Bukan tak pernah nyanyi, tapi mungkin sebelum ini peminat kurang menyedari genre seperti itu ada dinyanyikan Ayda Jebat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS