Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Wallahi, wabillahi, watallahi - itu sumpah dilafaz Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Prof Dr Mohd Rizon ketika menafikan tuduhan terbabit dalam politik serta berkempen untuk BN baru-baru ini.

Bercakap kepada Malaysiakini petang tadi, Mohd Rizon berkata, beliau tidak pernah menggunakan institusi pendidikan tersebut sebagai tempat kegiatan politik parti.

Katanya, beberapa gambar tular yang menunjukkan beliau memakai baju-T tertera tulisan BN juga tiada kaitan dengan politik di pusat pengajian tinggi itu.

“Itu baju basahan bagi orang macam saya. Sebagai penjawat awam mana boleh berkempen dalam premis kerajaan.

“Gambar itu dirakam pada 2017 ketika saya sedang membuat persiapan konsert Orkestra Simfoni Diraja yang akan dihadiri oleh raja muda Perlis dan sultanah Terengganu, bukannya waktu berkempen baru-baru ni," katanya.

Kecewa dengan tuduhan terhadapnya, Mohd Rizon berkata, beliau menjadi mangsa fitnah semata-mata.

“Mereka kata saya berkempen, ya Allah jahatnya. Teruknya fitnah zaman sekarang,” tambah beliau.

Hari ini Malaysiakini menyiarkan laporan seorang penuntut lepasan Aswara melancarkan kempen dalam talian untuk mengumpul sokongan bagi mendesak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menamatkan khidmat Mohd Rizon. 

Ada beberapa dakwaan dilemparkan mereka antaranya, salah guna kuasa dan Mohd Rizon menggunakan Aswara sebagai pusat aktiviti berpolitik.

Kes mahkamah melibatkan Mohd Rizon juga dijadikan alasan untuk mereka mendesak supaya beliau digantikan.

Tak ada kuasa tamatkan pensyarah

Mengenai isu pelantikan dan penamatan kontrak pensyarah di Aswara, Mohd Rizon berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, menurut beliau yang fasih berbahasa Inggeris dan Jepun itu, proses pelantikan seseorang pensyarah di Aswara melibatkan banyak pihak termasuk dekan dan jawatankuasa sumber manusia Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Katanya, hal yang sama juga berlaku untuk proses penamatan khidmat seseorang pensyarah.

“Rektor tak ada kuasa dia cuma salah seorang ahli saja dalam jawatankuasa tu,” katanya.


Baca: Tak boleh suka-suka tamatkan khidmat rektor Aswara


Pemilik ijazah doktor falsafah dari Universiti Oita, Jepun itu menambah beliau tidak boleh disalahkan sekiranya ada pensyarah berjawatan tetap ditamatkan perkhidmatan.

Katanya, ia bukan tindakan serta-merta sebaliknya selepas beberapa amaran diberikan kepada pensyarah dan melalui tindakan jawatan kuasa tatatertib.

“Saya tak terlibat dalam jawatankuasa tatatertib yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha kementerian.

“Di sana ada peguam, wakil lembaga pengarah, wakil Jabatan Sumber Manusia Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan pendaftar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS