Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Menteri: Tak boleh suka-suka tamatkan khidmat rektor Aswara

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkata kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menamatkan atau menggantung tugas penjawat awam di negara ini kerana ia tetap tertakluk di bawah undang-undang.

Menterinya, Mohamaddin Ketapi berkata, sehingga aspek perundangan itu dipatuhi, kementerian terbabit tidak boleh mengambil sebarang tindakan.

Mengulas laporan Malaysiakini hari ini, beliau berkata isu yang dikaitkan dengan Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Prof Dr Mohd Rizon melibatkan proses undang-undang.

Katanya, mengikut Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 tindakan tatatertib boleh boleh diambil terhadap pegawai yang disabitkan dengan prosiding jenayah, dan bukannya sivil.

"Kita perlu melalui dan menghormati proses perundangan tersebut, dan buat masa ini tiada sebarang tindakan yang boleh diambil,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Mohamaddin, kes rayuan melibatkan Mohd Rizon itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat.

Difahamkan, perbicaraa bagi rayuan sabitan tersebut akan didengar pada April ini.

Hari ini Malaysiakini melaporkan seorang bekas penuntut Aswara memulakan petisyen dalam talian bagi mendesak Mohd Rizon ditamatkan perkhidmatannya kerana disabitkan kesalahan di mahkamah dalam kes gangguan seksual di IPT berkenaan.

Sebelum ini, banyak pihak menyatakan rasa tidak puas hati mereka - terutama di media sosial - apabila kontrak Mohd Rizon disambung baru-baru ini.

Mohamaddin berkata, pihak yang tidak berpuas hati apabila kontrak Mohd Rizon disambung semula supaya memahami syarat yang termaktub dalam akta tersebut.

Katanya, mereka juga dinasihat supaya cuba benar-benar memahami undang-undang sedia ada.

"Kes yang dibicara terhadap rektor Aswara ini jelas menunjukkan ia adalah kes sivil dan bukan jenayah.

‘’Pihak yang tidak berpuas hati dengan kes perlu merujuk peguam masing- masing untuk huraian lanjut akta terbabit,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS