Paling Popular
Terkini

ULASAN | Bila menonton persembahan Bamboo Sound Arts oleh komposer, Mohd Kamrulbahri Hussin atau lebih dikenali sebagai Kamrul di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) penghujung tahun lepas, saya segera teringatkan satu rilisan album luar negara yang menumpukan perkara yang sama.

Buluh. Semua instrumen berasaskan buluh.

Album tersebut diterbitkan oleh pemain shakuhachi (seruling buluh Jepun) terkenal, John Kaizan Neptune pada tahun 1998 dikenali sebagai TakéDaké with Neptune dan albumnya bertajuk Asian Roots.

Persembahan Kamrul pula yang disebut di atas merupakan satu siri persembahan komposer yang dibuat oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kedua-dua terbitan ini menggunakan buluh sebagai sumber utama kepada instrumen yang dimainkan. John Kaizan tidak memperincikan pembuatan instrumen ini. 

Kamrul pula membuat persembahan berdasarkan penyelidikan yang dibuat oleh penyelidik UiTM di Hutan Rekreasi Bukit Bakar yang terletak di Machang, Kelantan.

Tenaga penyelidik daripada Fakulti Muzik UiTM Shah Alam dianggotai oleh seramai empat orang penyelidik iaitu Associate Professor Dr Ramona Mohd Tahir, Dr Ahmad Rithaudin Md Noor, Radzali Mustaffa dan Kamrul sendiri.

Hasil penyelidikan ini telah didokumenkan dalam satu album di dalam format cakera padat (CD) dan buku yang mengandungi lima buah gubahan baru dan dirakam di studio di UiTM. 

Terdapat juga tambahan dua buah lagu yang dirakam secara langsung di hutan rekreasi tersebut.

Persembahan pada malam itu dibahagikan kepada dua segmen. Segmen pertama menampilkan gubahan daripada instrumen berasaskan buluh dan yang keduanya pergendangan. 

Saya lebih tertarik dengan segmen pertama kerana gubahan berasaskan instrumen yang baru dikaji dan dipersembahkan.

Antara instrumen ciptaan baru diperkenalkan adalah rebluh iaitu rebab yang badannya diperbuat daripada buluh. Juga kapohtigo dan gendeluh.

Selain itu, instrumen lain yang dikaji mereka dan dimuatkan dalam buku serta album adalah seperti togunggak, kulintang buluh, sompoton, gendang kecapi, kertuk buluh dan beberapa yang lain.

"Idea ini tercetus hasil perbincangan bersama pasukan pengkaji Bamboo Sound Arts UiTM di dalam memastikan kelestarian alatan muzik(instrumen) tradisional Malaysia, " demikian penerangan Kamrul ketika ditanya tentang projek unik ini.

Seterusnya, beliau juga menekankan tentang usaha mereka untuk penambahbaikan dan pemuliharaan sedia ada. Juga percubaan mereka untuk menghasilkan alatan baru berdasarkan kajian yang dibuat.

Selama tiga tahun, pasukan penyelidik ini keluar masuk hutan untuk melakukan kajian. 

Walaupun begitu, menurut Kamrul hanya dua puluh peratus sahaja yang sempat dikaji dan kajian ini terhad kepada negeri Kelantan dan Sabah sahaja. Ini disebabkan kekurangan dana dan tenaga penyelidik.

Projek ini turut mendapat dukungan daripada Toyota melalui hubungan baik fakulti dalam acara eksklusif dengan mereka serta melalui kertas cadangan dan penyelidikan yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Apa yang lebih menarik, pasukan penyelidik ini telah membuat pembentangan hasil kajian ini di Persidangan Antarabangsa Persatuan Pendidikan Muzik iaitu International Society for Music Education (ISME) di Baku, Azerbaijan.

"Sambutan amat baik. Insya-Allah kami sedang berunding untuk kolaborasi bersama beberapa buah universiti dari Amerika Syarikat dan Jepun," jelas Kamrul dengan penuh keyakinan.

Di samping itu, beliau juga menyeru jika ada mana-mana badan (kerajaan atau swasta) yang berminat untuk menaja pasukan ini supaya mereka dapat membuat jelajah di seluruh negara untuk memperkenalkannya kepada khalayak yang lebih luas.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk alatan muzik ini dikomersialkan jika semua kajian sudah mencukupi terutama berkenaan proses pembuatan, pengekalan bahan dan penjagaan akustik alatan tersebut.

Setakat ini, beberapa alatan sudah pun dijual kepada umum iaitu puling dan togunggak.

"Impian kami supaya kita mampu mempunyai ladang penanaman buluh sendiri sehingga menjadi satu perusahaan yang memberi manfaat, bukan sahaja kepada negara ini tetapi dunia."

Meski pun tidak cukup kakitangan sepenuh masa untuk projek ini dan juga keterbatasan dana, dokumentasi pasukan penyelidik ini sehingga terhasilnya satu album dalam format CD dan juga buku perlu diberi pujian dan seterusnya penghargaan.

Sepadan dengan usaha tanpa jemu mereka mengkaji sesuatu yang asli di negara kita.

Dokumentasi sebegini, jika ditangani dengan baik akan menyebabkan sesuatu perkara itu terus hidup dan seterusnya dihargai.

Itulah yang dilakukan di banyak negara maju untuk memelihara nilai tradisi mereka.


ZULKIFLI RAMLI ialah seorang pemerhati seni dan budaya. Dia merupakan pemain gambus dan pengasas kumpulan muzik, Dewangga Sakti.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS