Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Walau 'sex' jadi 'love', NGO tetap bantah teater di PP
Diterbitkan:  Feb 12, 2019 6:19 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) menggesa pementasan Love In Georgetown City pada Hari Kekasih, Jumaat ini dibatalkan, walaupun tajuknya telah ditukar.

NGO itu telah membuat laporan polis bersama beberapa lagi pihak, diketuai Mohamad Hafiz Noordin di pejabat polis Daerah Timur Laut, Jelutong semalam bagi membantah pementasan berkenaan.

JMPP mendakwa teater produksi Big Nose Production itu akan mencabar sensitiviti umat Islam dan mencabar perundangan berkaitan sebarang bahan-bahan lucah.

Perkara itu, kata Mohamad Hafiz, seakan-akan pernah berlaku dua tahun lalu apabila terdapat pihak membawa masuk filem memaparkan hubungan luar tabii dari Vietnam yang dilakonkan oleh dua lelaki gay.

"Masa itu mungkin ada kesilapan. Tapi bila cuba dilakukan kali kedua, maknanya mereka sedang mempersendakan perundangan negara.

“Sedangkan kandungan teater ini tidak bermoral, tidak berakhlak.

"Kempen yang dibawa menerusi teater ini membawa kepada maksiat dan mungkar. Jadi hentikan teater ini," tegasnya seperti dipetik Harakahdaily.

JMPP berkata mereka ingin menyelamatkan golongan belia selain khuatir teater yang dipromosikan bersempena sambutan Hari Kekasih itu boleh membawa pengaruh negatif.

JMPP juga mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof untuk turun ke negeri itu bagi menyokong bantahan masyarakat Islam.

Teater yang tajuk asalnya Sex In Georgetown City itu meledak selepas muncul promosinya sebelum ini.

Menambah kebimbangan segelintir pihak, maklumat tertera pada poster itu mengkhususkan persembahan itu kepada individu yang berusia 16 tahun ke atas.

Bagaimanapun, pengarah dan penulis teater Fa Abdul membuat keputusan untuk menukar tajuk “sex” (seks) kepada “love” (cinta) selepas karyanya menerima kecaman.

Teater itu akan dipentaskan di Pentas 2 Penangpac Straits Quay, Tanjung Tokong bermula 14 hingga 17 Februari.

Salah faham, kata pengarah

Sementara itu, memetik Utusan Online, Fa memohon maaf berhubung “salah faham” mengenai tajuk teaternya.

Katanya, dia tidak berniat untuk menyinggung sensitiviti agama dan budaya menerusi tajuk yang dipilihnya.

Fa berkata, Love in Georgetown City membahaskan isu-isu sosial yang memberi kesan kepada masyarakat, negara, hubungan antara kaum, perkauman, pedofilia, kahwin bawah umur dan kecurangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS