Gara-gara 'diserang' dengan kecaman, penyanyi Linda Rafar bakal mengemukakan tuntutan agar lebih 100 individu meminta maaf kerana melemparkan kata-kata kesat terhadapnya.
Kegagalan berbuat demikian memungkinkan mereka akan dikenakan saman.
Peguam Linda, Nurul Hafidzah Hassan, berkata pihaknya sedang bersiap-siaga mengumpul bahan bukti kenyataan yang boleh dianggap fitnah.
“Pihak berkenaan seolah-olah menangguk di air keruh dengan mengeluarkan komen yang berbaur fitnah.
“Ketika ini, kami masih dalam proses mengumpul butiran lanjut individu berkenaan,” katanya seperti dipetik BH Online.
Menurut Nurul Hafidzah, selepas proses mengumpul maklumat, pihaknya akan menghantar notis dalam tempoh sebulan bermula hari ini.
Katanya, individu terbabit perlu memohon maaf secara terbuka jika tidak ingin berdepan tindakan undang-undang.
“Tindakan lanjut akan diambil mengikut undang-undang supaya tiada lagi spekulasi masyarakat terhadap anak guam saya serta keluarganya.
“Jika notis tuntutan itu tidak dijawab, tindakan saman bakal diambil,” katanya
Terdahulu bekas anggota kumpulan Elite itu meluahkan rasa kecewa terhadap layanan sekumpulan jururawat di sebuah hopital yang menempatkan ibunya, Rasimah Abd Rahman, di Shah Alam.
Rasimah, 73, dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital terbabit akibat gigitan serangga dan pernah menjalani pembedahan kerana jangkitan.
Namun kenyataan Linda itu sebaliknya mengundang pelbagai reaksi, termasuk yang mengecamnya.
Sementara itu, Linda berkata, dia menyangkakan selepas ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 11 Jan lalu, isu berkenaan sudah reda.
Namun, katanya, jangkaan itu meleset malah sebaliknya bertambah buruk.
“Disebabkan perkara ini, perniagaan saya dan ahli keluarga lain turut terkesan. Sejak kejadian itu, kami tidak mampu berhadapan dengan masyarakat.
“Apa yang dilakukan hari ini sebagai pengajaran kepada netizen yang sewenang-wenangnya menulis komen yang berbaur fitnah dan mengaibkan kami sekeluarga,” katanya.