Penyanyi Jamal Abdillah mendakwa isterinya mengalami pendarahan tanpa henti sejak beberapa bulan lalu hingga mengakibatkan berat badannya susut.
Kata Jamal, kejadian itu berlaku ketika mereka berusaha untuk mendapatkan zuriat.
Jamal tidak menolak kejadian itu mungkin berpunca daripada individu yang bertindak cuba menjatuhkannya dengan menghantar ilmu hitam.
Jamal percaya, sihir yang dihantar tidak 'melekat' pada dirinya sebaliknya terkena Zai Izzati Khiruddin.
"Mungkin individu tersebut nak tuju pada saya tapi tak mengena sebab ada pendinding seperti ayat-ayat suci yang diamalkan petua nenek-moyang.
"Sejak kami kahwin ada saja benda berlaku kepada isteri saya, kesian badannya sudah semakin kurus," katanya.
Konsert 3 suara
Jamal 58, ditemui pada sidang pengumuman Konsert 3 Suara di Dewan Berjaya Kelab Equestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.
Jamal bakal beradu tenaga menggegarkan Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak bersama dua lagi penyanyi iaitu Ameng Spring dan Zamani Slam untuk konsert berkenaan pada 6 April depan.
Berkongsi lanjut, Jamal berkata, dia dan Zai Izzati sememangnya sudah lama berusaha untuk memiliki anak sejak mereka mendirikan rumah tangga pada 1 April 2012.
"Kami memang nak anak cuma hasrat itu tidak pernah tercapai sebaliknya Zai Izzati sudah lima kali mengalami keguguran," katanya.
Menguatkan lagi anggapannya mengenai buatan orang, Jamal berkata keadaan Zai Izzati ada kalanya tidak menentu.
"Badannya sering mengidap gatal-gatal sewaktu kami masih menetap di rumah lama di Shah Alam," katanya.
Pada awal, penyanyi Takdir Penentu Segala itu berkata dia membawa Zai Izzati untuk bertemu pakar bagi mengetahui punca dan menyelesaikan masalah dihadapi.
"Selepas dibawa bertemu doktor saya dimaklumkan isteri mengalami masalah hormon.
"Saya sampai bawa isteri buat rawatan pakar selama tiga hingga empat bulan tapi tidak mendapat hasil positif," katanya.
Menurut Jamal, dia dan isterinya kini sedang mencuba rawatan alternatif.
Sebelum Izzati, Jamal pernah berkahwin dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad.
Jamal dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, hasil perkahwinan dengan Noraina manakala Ahmad Zaki Yamani, 12, daripada Fatimatuzahrah.