Polis menemukan sekurang-kurang 45 artis dan 100 model menawarkan khidmat pelacuran dalam talian selepas membongkar kes membabitkan dua artis Indonesia, Vanessa Angel dan Avriellia Shaqqila.
Menurut Ketua Polis Daerah Jakarta Timur, Luki Hermawan, polis menemukan angka itu selepas melakukan pemeriksaan intensif ke atas dua suspek disyaki bapa ayam dalam kes terbabit yang hanya dikenali sebagai ES, 37, dan TN, 28.
“Malam tadi pegawai melakukan penyiasatan, bukan hanya dua, tapi ada 45 semuanya artis,” katanya sepeti dipetik CNN Indonesia.
Pada 5 Januari lalu, polis menangkap Vanessa dan Avriellia di Hotel Surabaya kerana disyaki terbabit dalam sindiket pelacuran dalam talian.
Selepas disiasat, kedua-dua artis terbabit dibebaskan semalam.
Kadar bayaran
Kata Luki, kesemua artis terbabit dikendali oleh bapa ayam ES dan TN. Bagaimanapun, jaringan kedua-duanya berbeza.
“ES ini memang berhubung secara langsung dengan artis yang dia sediakan. Yang TN iaitu dari model FHM dari Popular.
“Ini nama-nama sudah kita pegang iaitu 100 nama dari majalah popular, iklan dan lain-lain,” katanya.
Luki juga berkata polis setakat ini sudah mengumpulkan maklumat artis dan model terbabit selain maklum dengan kadar bayaran perkhidmatan seks yang ditawarkan bapa ayam tersebut.
“Kita punya gambar dan nama serta sebahagian transaksi. Ada yang Rp100 juta (RM29,225), Rp80 juta (RM23,380) dan Rp25 juta (RM7,306),” katanya.
Berdasarkan perkembangan kes, Luki menyatakan, pihaknya mendapati ES dan TN menjalankan urus niaga pelacuran dalam talian ke semua kota di Indonesia, sesuai dengan pesanannya bahkan ada permintaan hingga ke luar negara.
Menurut Luki, polis akan memanggil artis dan model yang disyaki terlibat dalam jaringan pelacuran dalam talian tersebut, seorang demi seorang.