Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Yang dikenang-kenang dalam industri hiburan 2018

Tahun 2018 akan melabuhkan tirainya hanya beberapa hari saja lagi.

Begitu banyak perkembangan berlaku dalam dunia hiburan sepanjang tahun ini. Daripada khabar yang menggembirakan, mengejutkan dan menyedihkan terjadi melibatkan tokoh dalam dunia seni dan hiburan.

Untuk rekod, 2018 juga menyaksikan negara ini melalui pilihan raya umum ke-14. Justeru sedikit sebanyak perkembangan itu turut memberi kesan kepada dunia seni dan hiburan tanah air.

Bagaimanapun tidak mungkin untuk semua mereka disenaraikan dalam ruang yang terhad ini.

Berikut adalah antara pencetus berita pilihan Malaysiakini:

Farid Kamil

Farid Kamil Zahari didakwa menampar seorang anggota polis dan mencederakan orang awam ketika membuat laporan berhubung kemalangan jalan raya pada 11 Jan lalu. 

Susulan kejadian, pelakon Anak Halal itu berdepan lima pertuduhan.

Nama Farid juga menarik perhatian ramai apabila mendakwa dia ditawarkan suapan RM5 juta untuk mengubah pendirian bagi menyokong bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor.

Nur Sajat

Dia lebih diperhatikan kerana isu jantina berbanding kegiatan seni atau perniagaannya.

Pada 19 Dis Nur Sajat didakwa di mahkamah atas tuduhan berkaitan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Media melaporkan nama sebenarnya ialah Muhammad Sajat Kamaruzzaman.

Sehari kemudian dia menafikan perkara itu dan menjelaskan nama yang tertera pada kad pengenalannya tiada perkataan “Muhammad”. 

Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza Taruddin selamat melahirkan anak pertama, Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu.

Ia menamatkan penantian 11 tahun Siti Nurhaliza dan suami, Khalid Mohamad Jiwa.

Ellie Suriati Omar

Lupakan Ellie Suriati sebagai pelakon, kini dia seorang aktivis gerakan politik Melayu yang sering mendapingi pemimpin Umno, Lokman Noor Adam. 

Dia juga terbabit secara langsung sebagai penyokong parti pembangkang dan pengkritik tegar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Michelle Yeoh

Pernah melakar nama sebagai pelakon Hollywood dan berpasangan dengan tokoh pemotoran, kali ini aktres kelahiran Ipoh itu menarik perhatian ramai kerana mendapat hak sebagai penerbit filem mengenai watak utama skandal 1MDB. 

Filem itu berdasarkan buku tulisan Bradley Hope dan Tom Wright, Billion Dollar Whale.

Namun ada pihak berpendapat Michelle bukanlah tokoh yang layak kerana sebelum ini dia menampilkan dirinya sebagai penyokong Najib Razak dan BN.

Aishah

Selepas menjuarai Gegar Vaganza 4, penyanyi Aishah terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan haknya yang dijanjikan penaja. Penantian itu turut melibatkan pertikaian dan dijangka akan berlanjutan ke kamar mahkamah

Jalil Hamid

Di sebalik namanya yang besar sebagai pelakon yang memenangi beberapa anugerah, serta bakatnya sebagai pelawak, Jalil ditawarkan bayaran yang tidak berpatutan.

Luahan Jalil juga membuka mata banyak pihak terhadap isu bayaran tidak setimpal yang diberi pihak penerbit kepada pelakon berpengalaman. 

Yuna

Selesai memahat nama di peringkat antarabangsa, Yuna melangkah setapak lebih jauh dalam hidupnya apabila menjadi isteri kepada Adam Sinclair pada 26 Jan 2018.

Majlis diadakan Puncak Rimba Bentong, Pahang. 

A Samad Said

Tokoh kesusasteraan itu menggesa Kementerian Pendidikan mengambil langkah lebih proaktif supaya menjadikan karya-karya sasterawan negara sebagai buku teks di semua peringkat sekolah.

Ia dianggap penting kerana untuk suatu ketika kedudukan seniman, budayawan dan sasterawan seakan terabai, terutama apabila mereka tidak memihak kepada kerajaan BN dulu. 

Seniman meninggal dunia

Acapan

Pelakon komedi yang pernah berlakon dalam siri komedi Santan Berlada dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Acapan meninggal dunia pada 14 Sep lalu. 

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun dan pernah dilaporkan mengalami masalah buah pinggang sebelum ini. 

Pak Ngah

Dunia hiburan kehilangan seorang lagi komposer besar, Suhami Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah pada 25 Sep lalu. 

Pejuang lagu irama Malaysia itu menghembuskan nafas terakhirnya di Batam, Indonesia sehari sebelum menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-60. 

Zaibo

Pelakon dan pelawak Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan nama Zaibo meninggal dunia pada usia 62 tahun pada 14 Nov lalu akibat penyakit kanser. Allahyarham pernah membintangi drama seperti Spanar Jaya, Under One Roof (drama Singapura) dan filem Anna And The King, Magika, serta Awan Dania the Movie

Zaibo disahkan menghidap kanser esofagus tahap empat pada tahun ini.

Saleem

Penyanyi Saleem, 56, meninggal dunia pada 14 Okt lalu selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur. 

Penyanyi lagu Suci Dalam Debu dan Selamat Tinggal Penderitaan itu terbabit dalam kemalangan pada 20 Sept mengakibatkan beberapa tulang rusuknya patah, satu daripadanya mencederakan paru-parunya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS