Jenuh dengan alasan berbolak-balik yang diberikan, Aishah nekad menyerahkan nasibnya berhubung kemelut antara dia dan Vida di mahkamah untuk mencari jalan penyelesaian.
Menurut penyanyi itu, pertikaian barang kemas yang dimaklumkan kepadanya palsu - tercetus sejak tahun lalu - mengambil tempoh lebih daripada sepatutnya dan perlu diselesaikan segera.
“Apabila saya cuba selesaikan perkara itu di luar mahkamah secara baik, banyak pula isu lain yang timbul.
“Perkara ini memakan masa dan begitu remeh hingga ada pula permintaan daripada pihak sana agar dikurangkan harga barang kemas itu seandainya ingin digantikan dengan wang ringgit,” katanya.
Aishah, 53, ditemui pada sidang media majlis pelancaran lagu dan video muzik Malar di Kuala Lumpur hari ini.
Untuk rekod, hadiah sumbangan itu muncul selepas Aishah memenangi pertandingan Gegar Vaganza 4 dan dia mendapati hadiah barang kemas yang diberikan kepadanya palsu.
Ia diketahui selepas penyanyi Janji Manismu itu merujuk kepada beberapa pakar barang kemas.
Tak boleh janji kosong
Menurut pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu kali terakhir dia merujuk peguamnya bagi menyelesaikan isu barang kemas berkenaan ialah pada minggu lalu.
“Saya jangka akan failkan saman awal tahun depan. Susah sangat nak diselesaikan, kita bagi mahkamah yang buat keputusan,” katanya.
Selain barang kemas, Aishah juga dijanjikan beberapa hadiah lain antaranya wang tunai, sebidang tanah lot banglo, baucar dan pakej percutian ke Eropah Timur.
Hingga kini Aishah juga belum menerima tapak lot banglo yang dijanjikan.
Mengulas mengenai perkara itu kata Aishah ia bukan seperti yang dijanjikan kerana penaja merancang untuk memberikan sebuah tapak yang bersaiz lebih kecil.
Bagaimanapun, katanya dia tidak sesekali akan bertolak-ansur berhubung saiz tapak berkenaan kerana perkara itu ibarat sudah melanggar prinsipnya.
“Mereka nak bagi tapak bersamaan 2600 kaki persegi. Kalau diikutkan, sesebuah tanah lot banglo saiznya lebih besar daripada itu.
Baca Aishah rasa nak tergelak lihat komen Vida
“Saya tak akan terima saiz lebih kecil. Kalau saya terima apa saja alasan mereka habislah artis lain yang masuk program-program macam ni.
“Penaja sudah dapat pendedahan mengenai produk atau syarikat mereka justeru tak boleh beri janji kosong macam ni sepatutnya apa diuar-uarkan kena tunaikan.
“Golongan artis akan kena buli di masa akan datang janji lot banglo tapi yang dapat teres,” katanya.
Malah Aishah juga memaklumkan hinggi kini dia masih belum mengetahui lokasi sebenar tapak tersebut.
“Sekejap penaja kata di Johor Bahru, sekejap di Selangor. Sebenarnya lokasi tapak tu di mana?” katanya.