Tidak hanya muzik reggae boleh berbangga kerana disenaraikan sebagai salah satu khazanah budaya dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).
Kini irama dondang sayang turut diterima dalam senarai berkenaan selepas kali terakhir negara mendapat penghormatan itu melalui makyung pada 2005.
BACA: Unesco iktiraf reggae sebagai warisan dunia
Hal itu dinyatakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini.
Menurut menterinya, Muhamaddin Ketapi penyenaraian itu merupakan pengiktirafan bertaraf dunia dan membanggakan negara,
"Pengiktirafan sebegini amat diingini oleh negara anggota (Unesco) kerana memberikan kelebihan dari segi perlindungan, promosi dan peluang mengetengahkan identiti negara masing-masing," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Program pengiktirafan itu diwujudkan di bawah Konvensyen Lindungi Warisan Budaya Tidak Ketara (Convention for the Safeguarding Intangible Cultural Heritage 2003).
Untuk rekod hanya negara yang meratifikasi konvensyen tersebut sahaja boleh menghantar pencalonan untuk disenaraikan.
"Dondang sayang merupakan pengiktirafan pertama setelah Malaysia meratifikasi konvensyen tersebut.
"Konvensyen ini sangat penting kerana ia bertujuan untuk melindungi warisan kebudayaan tidak ketara di seluruh dunia," katanya.
Anggota parlimen Silam itu berkata, pengiktirafan oleh Unesco itu diputuskan oleh sebuah jawatankuasa dianggotai wakil dari 24 negara anggota.
Dondang sayang merupakan muzik tradisional berasal dari Melaka. Melalui irama yang mendayu-dayu itu penyanyi berpantun untuk menyampaikan mesej.