Muzik reggae yang dipopularkan antaranya oleh legenda Bob marley kini disenaraikan sebagai khazanah budaya oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) mengiktiraf genre itu sebagai salah satu warisan dunai yang layak dilindungi dan dipromosi.
“Sumbangan muzik ini kepada wacana antarabangsa mengenai isu-isu ketidakadilan, penentangan, kasih sayang dan kemanusiaan menggariskan dinamika elemennya yang intelektual, spiritual, sensual dan sosiopolitik," kata Unesco seperti dipetik Channel News Asia.
Kata Unesco lagi, muzik itu yang pada mulanya menjadi suara golongan terpinggir kini telah tersebar ke semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, kaum dan agama.
Reggae menyertai lebih 300 budaya lain yang disenaraikan Unesco kali ini.
Jamaica - tempat lahirnya muzik itu - memohon kemasukan reggae semasa mesyuarat PBB di pulau Mauritius tahun ini.
Menteri Kebudayaan Jamaica Olivia Grange menyifatkan ia adalah hari bersejarah buat negara itu.
"Ke mana saja anda pergi dan kata anda dari Jamaica, orang akan membalasnya dengan 'Bob Marley'," katanya.
"Ia secara uniknya Jamaica...muzik yang dilahirkan kami dan telah menembusi segenap pelusuk dunia," katanya lagi seperti dipetik AFP.
Reggae muncul pada akhir 1960-an daripada genre ska dan rocksteady di Jamaica, selain suntikan pengaruh jazz dan blues Amerika.
Ia menjadi popular di Amerika Syarikat di Britain susulan kebanjiran imigran dari Jamaica selepas Perang Dunia Kedua.
Single kumpulan Toots and the Maytals berjudul Do the Reggay pada 1968 merupakan lagu popular pertama yang menggunakan istilah itu.