Dalam melestarikan kelangsungan persuratan dan sastera kebangsaan negara, kerajaan berhasrat untuk melaksanakan 'jelajah sasterawan'.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, aktiviti tersebut adalah program yang akan diwajibkan di semua universiti awam.
“Di peringkat universiti awam selepas ini, kita akan mewajibkan semua universiti untuk adakan jelajah sasterawan,” katanya pada forum Himpuran Penulis Malaysia (HPM) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor malam tadi.
Kata Maszlee, matlamatnya adalah untuk merapatkan jurang antara golongan mahasiswa dengan sasterawan negara.
“Ia bertujuan untuk pelajar berkenalan dengan sasterawan negara yang ada,” katanya lagi.
Forum HPM yang bertemakan Persuratan dan Peradaban: Jalan ke Hadapan, dianjurkan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama UKM, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Buku Malaysia, Perbadanan Kota Buku dan PENA.
Melalui sesi dialog yang dihadiri kira-kira 300 penulis itu, Maszlee membincangkan pelbagai perkara berkaitan sastera dan persuratan tanah air.
Mudahkan guru miliki ijazah
Mengulas mengenai guru mahir, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menyasarkan tempoh 10 tahun lagi untuk pendidikan guru sedia ada dinaik taraf kepada pemegang ijazah sarjana.
Beliau berkata, kerajaan juga akan membantu bagi memudahkan proses setiap guru untuk memiliki segulung ijazah berkenaan.
“Saya rasa adalah tidak mustahil, kita akan cuba permudahkan mereka untuk ikuti latihan dalam perkhidmatan yang kemudian akan ditukarkan dengan jam kredit.
“Pada penghujungnya mereka boleh dapat ijazah sarjana,” katanya.
Maszlee juga menambah peluang kenaikan pangkat bagi guru atau pensyarah yang menyumbangkan khidmat mereka untuk menulis buku dan menghasilkan karya.
“Saya akan pastikan ia dijadikan kredit untuk kenaikan pangkat. Begitu juga dengan pensyarah universiti yang membuat terjemahan.
“Usaha terjemahan ini akan diambil kira dalam kenaikan pangkat dan promosi kerana kita ingin memastikan banyak lagi usaha itu diperingkat universiti selain menyelaraskan usaha mengantarabangsakan karya tempatan,” katanya.