Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis Evo 2: Memang ada pengganas bertopeng Islam
Diterbitkan:  Nov 11, 2018 11:20 AM
Dikemaskini: 6:47 AM

Memboikot filem yang dianggap memberi imej buruk kepada Islam bukanlah langkah terbaik yang boleh diambil, sebaliknya status produksi berkenaan wajar ditentukan selepas ia ditonton, kata Hanipa Maidin.

Menurut timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sukar untuk sesiapa membuat penilaian hanya berdasarkan kepada maklumat yang tidak penuh.

Malah kata anggota parlimen Sepang itu orang ramai wajar diberi ruang untuk menonton filem Polis Evo 2 dan menilai sendiri hasilnya kemudian.

"Bagi saya pembikinan filem ini ada kaitan dengan kreativiti karyawan filem.

"Memang betul, tak semua karya itu kita boleh terima atau setuju, tapi boikot - saya rasa - sepatutnya menjadi pilihan terakhir," katanya.

Dalam konteks Polis Evo 2 kata Hanipa tidak memadai diseru supaya diboikot hanya kerana ia memaparkan orang Islam sebagai pengganas.

"Filem kadangkala mencerminkan realiti masyarakat. Realiti sedih yang memang wujud sekarang ialah, ada orang yang berpakaian dan berimej Islam namun berwatak ganas dan rasa diri mereka suci.

"Justeru bagilah peluang untuk para karyawan bebas sikit untuk berkarya," katanya.

Kalahkan penjahat Islam juga

Terdahulu semalam salah seorang pemimpin PAS menggesa orang ramai memboikot filem arahan Joeh Soh dan Andre Chiew itu kerana didakwanya memberi gambaran buruk kepada Islam.

"Berikan pengajaran kepada penerbit, pengarah bahkan pelakon yang berada dalam industri seni negara ini, hargailah nikmat keamanan negara dan hormatilah perasaan umat Islam," kata anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Md Nor. 

Untuk rekod Polis Evo 2 hanya akan mula ditayangkan di pawagam pada 22 Nov ini dan Riduan membuat kenyataan tersebut berdasarkan kepada bacaannya terhadap sinopsis filem berkenaan saja.

Riduan juga mendakwa produksi berkenaan sebagai "filem sampah" yang diarahkan oleh sutradara "suam-suam kuku".

Wan Ji Wan Hussin

Sementara itu pengarah akademik Saudara Research Centre Wan Ji Wan Hussin berkata memang wujud sekumpulan orang menggunakan Islam sebagai topeng bagi mereka melakukan keganasan.

Katanya jika pada zaman dulu ia dikenali sebagai kumpulan Khawarij kini langkah sama turut diambil oleh pengganas seperti IS.

Justeru katanya bukan menjadi isu besar untuk Polis Evo 2 yang memaparkan watak orang Islam yang bertindak ganas.

"Dalam filem tu juga tampilkan bahawa yang melawan pengganas itu, orang Islam juga.

"Jadi, tak ada isu menampilkan Islam agama keganasan," katanya.

Selain Shaheizy Sam dan Zizan Razak yang membawa watak utama, Polis Evo 2 juga menampilkan Hasnul Rahmat, Soffi Jikan dan Syafie Naswip sebagai antara pelakon yang menjayakan filem berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS