Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Faisal Tehrani tolak undangan himpunan penulis

Penulis terkenal Faisal Tehrani menolak lamaran menjadi panel forum Himpunan Penulis Malaysia (HPM) yang didakwanya akan melibatkan “kaki bodek ahli politik”.

“Saya ambil sikap sama dengan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang tak mahu campur orang-orang seperti ini semua,” katanya ketika dihubungi Malaysikini hari ini.

HPM yang bakal berlangsung pada 16 November ini di Universiti Kebangsaan Malaysia bakal menjadi medan penulis untuk menyuarakan pandangan bagi memastikan agenda persuratan diberi perhatian oleh kerajaan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dijadual terbabit dalam dialog awam bersama persatuan penulis pada himpunan sama.

Himpunan itu adalah yang pertama melibatkan ramai penulis tanah air itu selepas kerajaan Pakatan Harapan menewaskan BN pada 9 Mei lalu.

Faisal, 44, antaranya tidak puas hati dengan sikap penulis yang diam ketika tujuh buah novelnya diharamkan kerajaan BN sebelum ini.

Bahkan kata pemilik nama sebenar Mohd Faizal Musa itu, bukan saja beliau tidak mendapat sokongan, malah ramai penulis lain yang turut menambah tekanan sewaktu dirinya sedang berdepan ujian.

“Mereka tidak mempertahankan malah ramai ahli jawatankuasa persatuan yang turut mengejek saya. Saya boleh namakan pengarang yang tolong tekan ketika saya ditekan,” katanya.

Novel Faisal, yang sering dikaitkan dengan fahaman Syiah, diharamkan atas alasan “mungkin memudaratkan ketenteraman awam.”

Kes-kes itu dirujuk ke mahkamah dan menyebelahi beliau.

Katanya, penulis yang mengambil sikap tidak mengendahkan antara satu sama lain jelas menjadi petanda bahawa dunia sastera tempatan sedang tenat.

Menurutnya, situasi seperti ini tidak berlaku di tempat lain, tetapi hanya di Malaysia.

“Banyak negara sudah saya lawati, persatuan penulis PEN International misalnya berasa terkejut dengan pengharaman tujuh buah novel saya.

“Mereka bertanya di mana saudara sezaman yang datang untuk membela tetapi apabila saya katakan tiada, mereka menjawab situasi seperti itu sangat aneh,” katanya.

'Waspada pembodek, Maszlee'

Sementara itu, Faisal turut mengingatkan Maszlee agar berwaspada dengan golongan penulis yang cenderung untuk mengampu beliau atas kepentingan peribadi.

Faisal mendakwa, individu terbabit, adalah golongan sama yang pernah mendapat habuan ketika kerajaan BN masih berkuasa.

“Terdapat segelintir sasterawan yang sedang menghimpit kerajaan Pakatan Harapan.

"Saya hairan, adakah Dr Maszlee yang nak turun padang ni sedar atau tidak yang nak belai-belai beliau tu siapa?

“Mereka ini juga yang pernah hidup duit berkepuk-kepuk semasa pemerintahan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Justeru, bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, Faisal menggesa ahli parlimen Simpang Renggam itu menjauhkan diri daripada 'tukang kipas' yang mahu mendapatkan ganjaran.

“Beliau boleh terbuai perasaan dengan mereka, tetapi tak boleh percaya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS