Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rossa makin berseri dengan Datuk Seri
Diterbitkan:  Oct 24, 2018 8:30 PM
Dikemaskini: 12:30 PM

Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Rossa kini bergelar Datuk Seri setelah dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran Pahang sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Pekan hari ini.

Rossa atau nama sebenarnya Sri Rosa Roslaina Handiyani yang menjadi seorang daripada 18 penerima darjah kebesaran itu melahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih terhadap Sultan Pahang di atas pengurniaan berkenaan.

"Saya amat bersyukur kerana tahun ini memberi banyak kebahagiaan kepada saya.

"Selepas mendapat Anugerah Khas Planet Muzik 2018 yang berlangsung di Singapura pada 28 Sept lalu, saya dapat pula anugerah ini.

"Ini hadiah ulang tahun kelahiran saya pada 9 Okt lalu dan sesungguhnya tahun ini membawa tuah kepada saya terutamanya dalam bidang seni," katanya yang ditemui selepas istiadat berkenaan.

Penyanyi lagu Pudar menerima gelaran Datuk daripada Sultan Ahmad Shah lima tahun lepas.

Anugerah jadi bonus

Sementara pada itu Rossa yang berasal dari Sumedang, Indonesia dan popular dengan lagu-lagu seperti Atas Nama Cinta, Ayat-ayat Cinta dan Hati Yang Kau Sakiti itu turut menafikan laporan yang tular di media sosial mengatakan dia telah berkahwin dengan penyanyi Afghan.

“Itu tular… belum lagi (berkahwin), insya-Allah, semoga cepat sahaja dapat yang terbaik,” katanya.

Selain Rossa artis veteran tanah air, Amir Hamzah Salleh atau lebih dikenali sebagai ND Lala pula menjadi seorang daripada penerima darjah kebesaran dalam istiadat berkenaan.

ND Lala antara 50 individu dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Beliau yang merupakan Pengarah Urusan The Right Interpreneur Sdn Bhd berkata anugerah itu satu pengiktirafan dan tanggungjawab untuknya berkhidmat kepada masyarakat melalui seni dan keusahawanan.

"Selama 36 tahun berkecimpung dalam bidang seni, apa yang saya pegang adalah kata-kata ibu supaya kita lebih banyak memberi kepada orang ramai.

"Pengiktirafan adalah satu bonus dan bukan sesuatu yang dikejar," katanya.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS