Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Penaja utama Gegar Vaganza musim lalu, Datuk Seri Vida mengemukakan tiga tuntutan kepada juara musim keempat program itu, Aishah sebelum beliau memenuhi tuntutan penyanyi berkenaan.

Menurut Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, melalui peguamnya Zailan Mohamed beliau telah menghantar surat bertarikh hari ini kepada peguam penyanyi berkenaan dan mahu permintaannya dipenuhi dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.

Katanya, tuntutan pertama, Aishah dikehendaki membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu yang menjadi punca perbalahan antara mereka berhubung kenyataan medianya dimuat naik sejak 4 September lalu.

"Yang didakwa kubik zikornia itu adalah Swiss Diamond malah ada rantai emas putih berserta batu sapphire kenapa keseluruhan rantai itu didakwa palsu?" katanya dalam satu sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

Menurut Vida, 46, melalui tuntutan kedua beliau ingin mengadakan pertemuan dengan penyanyi Janji Manismu itu bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku antara mereka.

"Saya menyeru Aishah supaya bersemuka dengan saya. Kalau asyik berbalah di media sosial sampai bila takkan habis," katanya.

Bagi tuntutan terakhir Vida meminta Aishah memadam semua kenyataan berhubung berlian palsu yang dimuat naik di media sosial sebelum ini.

"Kerana impak perkataan palsu itu ia telah merosakkan perniagaan terutama kedai emas saya yang dibuka di Siam. Bukan senang nak naikkan sesebuah jenama," katanya.

Jutawan kosmetik itu juga menyatakan harapannya agar Aishah bersetuju untuk memenuhi semua tuntutan dengan berlapang dada.

"Harap pendedahan ini boleh jernihkan keadaan huru-hara yang berpanjangan," katanya.

Bagaimanapun, menurut Zailan sekiranya Aishah enggan menunaikan apa yang dikemukakan isu itu akan dibawa ke mahkamah.

Sebelum ini, Aishah melalui akaun Instagram miliknya mendakwa bahawa rantai berlian yang diterimanya bukan asli.

Dalam satu sidang media pada 5 Oktober lalu, Aishah memberi tempoh tujuh hari kepada Vida untuk memberi seutas rantai berlian asli dengan nilai setara RM80,000 seperti dihebohkan selain menuntut permohonan maaf.

Aishah berbuat demikian selepas tidak mendapat sebarang respons yang dikehendaki daripada beliau berhubung hadiah barang kemas berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS