Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Astro harap kemelut Aishah dengan Vida selesai segera
Diterbitkan:  Aug 29, 2018 4:36 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Stesen penyiaran Astro berpendapat pertikaian di antara juara Gegar Vaganza 4 (GV4) Aishah dengan Datuk Seri Vida boleh diselesaikan dengan kebijaksanaan serta kematangan kedua-dua pihak.

Pengurus Saluran Astro Ria Emarina Mohd Kamal berkata pihaknya berharap perang mulut antara Aishah dan usahawan kosmetik terbabit dapat diselesaikan segera melalui semangat kekeluargaan.

Sebagai stesen penyiar yang mengajurkan GV4 pula, kata Emarina, tidak manis untuk Astro berpihak sama ada kepada Aishah atau Vida.

Pada masa sama Emarina mengakui kedua-dua mereka individu dihormati serta mempunyai kelebihan masing-masing.

"Kami mengenali karekter Vida sebagai seorang yang sangat bermurah hati dan komited menyokong sebarang program yang kami terbitkan.

"Aishah pula kami sifatkan sebagai seorang artis yang memiliki karisma dan bakat seni yang luar biasa, malah penyertaannya dalam GV4 juga telah membantu melonjakkan reputasi dan imej program berkenaan," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.


Baca Aishah rasa nak tergelak lihat komen Vida


Aishah sebelum ini menyatakan kekecewaan apabila barang kemas yang dihadiahkan kepadanya sebagai juara GV4 - diuar-uarkan bernilai RM80,000 - hanya indah khabar dari rupa.

Kata penyanyi Janji Manismu itu, selepas membuat semakan di dua kedai barangan kemas didapati rantai itu bukan tulen.

Vida kemudian menawarkan mata wang kripto yang dikeluarkannya - Lavida Coin - sebagai ganti, namun bertegas enggan menukarkannya dengan wang tunai atau barang kemas yang menyamai nilai hadiah disebutkan dulu.

Atas ihsan penaja

"Take it or leave it," katanya kepada Aishah seperti dilaporkan portal mStar Online.

Tidak cukup dengan itu Vida juga mencadangkan supaya gelaran juara pada Aishah ditarik balik kerana menganggap penyanyi itu hanya layak berada di tempat ke-10.

Menurut Emarina pihak penaja tidak ada sebarang kuasa untuk memilih pemenang serta mempengaruhi keputusan rasmi program terbabit.

Katanya keputusan mengenai kedudukan pemenang tertakluk sepenuhnya di tangan juri profesional.

Menurut Emarina lagi segala keputusan rasmi juga telah dinilai dan disemak oleh badan audit bertauliah yang dilantik bagi memastikan proses penjurian dilakukan secara telus dan adil.

"Selaku stesen penyiar program Gegar Vaganza, kami berasa amat kesal perkara ini menjadi isu yang sangat besar sehingga mencetuskan perang mulut di antara kedua-dua invididu yang sangat kami hormati," katanya.

Emarina juga mengesahkan barangan kemas tajaan itu memang hadiah tambahan (atau bonus) untuk para pemenang.

"Ia ditaja sepenuhnya atas ihsan Vida dan tidak termaktub dalam perjanjian asal yang ditandatangani oleh pihak beliau dan Astro," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS