Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bagaimana reaksi Aishah apabila penaja Gegar Vaganza 4 (GV4) menyarankan supaya gelarannya sebagai juara ditarik balik?

Dia hanya mahu ketawa.

Menurut Aishah, perkara pertama yang muncul secara spontan dalam mindanya selepas berita mengenai isu itu diketahui ialah mahu ketawa.

“Rasa nak tergelak pun ada apabila saya terima jawapan macam ini,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Aishah yang terkenal dengan lagu Janji Manismu dan Camar Yang Pulang itu dihubungi bagi mendapatkan reaksinya terhadap cadangan Datuk Seri Vida supaya gelarannya ditarik balik selepas membangkitkan isu kualiti barang kemas yang diterimanya.

Usahawan kosmetik terbabit berpendapat Aishah "tidak layak" menjadi juara pertandingan nyanyian anjuran Astro itu.

"Saya mahu kejuaraan dia ditarik balik... dia tak layak dapat nombor satu tapi nombor 10," katanya seperti dipetik mStar Online.

Tegas enggan ganti

Isu berkenaan bermula apabila Aishah tidak berpuas hati kerana barang kemas - yang diuar-uarkan bernilai RM80,000 - didakwanya bukan tulen.

Katanya kualiti rantai emas putih bertatah batu permata itu diketahui selepas membuat semakan di dua kedai berasingan.

Aishah mendakwa, batu permata yang sepatutnya bernilai itu sebenarnya kubik zirconia dan batu sintetik.


Baca Astro harap kemelut Aishah dengan Vida selesai segera


Menurut Vida, isu itu tidak timbul kerana rantai yang diberikan kepada Aishah hanyalah hadiah tambahan dan bukannya ganjaran utama.

Menjelaskan perkara itu Aishah berkata usahawan kosmetik terbabit tidak perlu memberikan pelbagai alasan untuk menangani kemelut yang sedang berlaku.

Katanya kekecewaan yang diluahkan itu bukan bermaksud dia terdesak untuk menukar barang kemas berkenaan dengan wang ringgit.

Sebaliknya dia beranggapan menjadi juara GV4 adalah satu kemenangan berharga buat dirinya dan untuk dikenang-kenang selepas lama menyepi dari industri hiburan tanah air.


Baca Lan Solo: Timbulkan isu hadiah bukan untuk burukkan sesiapa


Dalam laporan sama Vida - atau nama sebenarnya Hasmiza Othman - juga hanya memberikan dua pilihan kepada Aishah bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Kata Vida, Aishah boleh menggantikan hadiah barang kemas itu dengan pelaburan dalam mata wang kripto yang dikeluarkannya, Lavida Coin, atau terus menyimpan rantai tersebut.

Menurutnya dia tidak akan menuruti permintaan Aishah yang mahukan barang kemas berkenaan ditukar dalam bentuk wang ringgit mahupun barang kemas yang sama dengan nilai yang diuar-uarkan.

“Saya takkan ganti dengan wang tunai mahupun barang kemas bernilai RM80,000.

"Saya hanya akan ganti dengan Lavida Coin... you take it or leave it (kamu ambil atau lupakan terus),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS