Seseorang wanita yang menggemari sukan lasak seperti tinju tidak sepatutnya dikaitkan dengan sifat panas baran atau tidak boleh mengawal emosi.
Bagi pelakon Malaysia yang sudah meraih populariti di Indonesia, Farali Khan, tinju dianggap aktiviti sukan yang boleh 'menyempurnakan' diri seseorang.
“Saya tidak anggap wanita yang menyertai aktiviti lasak seperti ini boleh dilabel agresif atau suka cari gaduh.
“Bertinju memang menguji mental dan membantu saya mengatasi sesuatu masalah. Ia bukan sekadar taktik atau stamina. Tinju ialah satu bentuk pergerakan seni tubuh badan.
“Ia lebih kepada stimulasi mental yang mengajar seseorang tidak mudah berputus asa,” katanya.
Farali, 29, ditemui pada sidang media pelancaran trailer filem terbaru lakonannya Kalla Hidup Atau Mati di Wow KL, Ampang semalam.
Sukan lasak sememangnya bukan sesuatu yang asing bagi pemilik nama penuh Norfara Ali Dad Khan itu.
Lepaskan semua tenaga
Minat mendalam aktres itu menyertai sukan lasak membuatkan dia menyertai dua pertandingan tinju peringkat amatur di Jakarta sebelum ini.
Adik kepada model dan pelakon - yang sedang galak menempa nama di Indonesia - Miller Khan itu juga sering membabitkan diri dalam aktiviti lain seperti muay thai, mendaki gunung dan menyelam.
Farali mulai dikenali di Indonesia selepas mendukung watak Lola menerusi filem 3 Dara di samping Adipati Dolken dan Tora Sudiro.
Di negara ini, Farali pernah menggalas peranan sebagai Timora Ali dalam drama bersiri Black Belt Kaler Pink yang bersiaran di Astro pada tahun lepas.
Disebabkan dirinya dikenali sebagai seorang yang lasak itu juga, Farali diberikan kepercayan untuk menggalas watak sebagai Uyun dalam Kalla Hidup Atau Mati.
“Saya banyak melakonkan aksi lasak, tetapi sebenarnya ia jauh berbeza dengan bertinju. Bertinju memerlukan seseorang itu untuk melepaskan semua (kudrat), tetapi dalam skrin kita kena banyak mengawal diri,” katanya.
Naskhah garapan Datuk Suhaimi Ibrahim dan Lai Yun Ka itu dijangka menjengah pawagam tempatan 11 Oktober ini.
Selain Farali, ia turut dijayakan barisan pelakon seperti Faizal Hussein, Vanidah Imran, Azhan Rani, Zaidi Omar, Razali Hussein dan Riz Amin.
Menurut Farali, dia menerima tawaran untuk menjayakan Kalla Hidup Atau Mati kerana berasakan naskhah itu mempunyai penceritaan yang berjaya menarik minatnya dan memuaskan hati.
“Tawaran datang tahun lepas, selepas raya. Saya menerima peranan untuk menjayakan filem ini kerana ia lain daripada yang lain dan diharap filem ini dapat membeli jiwa penonton,” katanya.