Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aishah hampa janji tapak banglo belum menjelma

Tak seindah semua yang dikhabarkan - itu dialami Aishah apabila ada lagi hadiah dijanjikan kepadanya masih belum dilunaskan walaupun hampir setahun dia menjuarai Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Aishah mendedahkan dia belum menerima satu lot tanah tapak banglo yang sepatutnya disumbangkan penaja kepada pemenang tiga tangga teratas dalam pertandingan terbitan Astro itu.

Lebih dikesali, kata penyanyi lagu Janji Manismu itu, tanah berkenaan memang sudah lama didambakannya, malah ia menjadi salah satu pembakar semangatnya untuk cemerlang dalam GV4.

“Apabila saya dapat tahu salah satu hadiah GV5 (sebenarnya GV4) adalah tanah lot banglo, saya cukup bersemangat. Sasaran saya masa dapat tau hadiah tanah tu adalah untuk berada di tangga ketiga teratas,” luahnya di Instagram.

Pada konsert akhir GV4 yang diadakan di Pinewood Studios, Johor, Aishah menyampaikan lagu All By Myself nyanyian asal Celine Dion pada tugasan solo dan Supergirls (De Fam) bagi segmen battle.

Persembahan mantap pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu berjaya mengetepikan saingan sengit daripada Liza Hanim, Lan Solo, Tia Jinbara, Firman dan Hazami.

Kemenangan Aishah membolehkan dia turut membawa pulang hadiah seperti wang tunai berjumlah RM100,000, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 berserta piala.

Pada konsert akhir itu, Liza Hanim meraih gelaran naib juara manakala Lan Solo di tempat ketiga.

Penyanyi lagu Dari Mata Sedih itu berkata, dia sebenarnya menyimpan hasrat untuk membuat sebuah rumah kediaman yang biasa-biasa saja di tapak berkenaan.

“Cita-cita di usia begini nak buat rumah setingkat (kaki sakit nak panjat tangga). Rumah orang pencen bukan nak buat istana pun.

“Apabila masalah timbul, benar-benar menitiskan air mata saya. Mungkin rumah baru yang saya impikan tu 6 kaki ke bawah je untuk saya... Wallahu a'lam...” tulisnya lagi.

Untuk makluman, hadiah wang tunai, percutian dan baucar beli-belah sudah diterima Aishah.

Dalam pada itu, Aishah turut mempertikaikan kualiti barangan kemas sumbangan Datuk Seri Vida.

“Dah lama kami pendam rasa beri peluang untuk pihak terbabit memberi reaksi atau mungkin membetulkan keadaan tapi hampa.

“Jangan sangka yang berkerdipan itu intan permata... hahahah apa perasaan kamu bila dah gebang-gebang pukul canang harga barangan ribu riban bila dinilai rupanya sekadar… sedih apabila artis diperlakukan begini.

“Kalau pun hadiah tambahan boleh main tipu-tipu je ke? Saya benar-benar tidak faham cara sebegini...salah ke saya bersuara?” katanya.

Astro hubungi penaja

Sementara itu, mengulas tentang isu berkenaan Astro berkata syarikat penaja lot tanah tapak banglo terbabit meminta sedikit masa untuk menyelesaikan "beberapa perkara berbangkit".

“Kami difahamkan pihak penaja telah meminta sedikit masa untuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit berhubung hadiah penajaan yang berupa tanah lot banglo.

“Besar kemungkinan terdapat sedikit salah faham di antara pihak penaja dan pemenang dari segi tempoh masa untuk melunaskan bahagian mereka dalam perjanjian penajaan tersebut.

“Bagi menjaga kepentingan kesemua pihak terutamanya para pemenang GV4, Astro sudah berhubung dengan pihak penaja dan masih menunggu maklum balas terkini daripada mereka tentang langkah-langkah seterusnya yang akan diambil untuk menyelesaikan isu ini, sekali gus menyegerakan urusan penerimaan hadiah tajaan seperti yang dijanjikan,” kata jurucakap Astro.

Mengenai dakwaan kualiti barangan kemas yang diterima, Astro berkata mereka sendiri tidak jelas mengenai perkara itu dan enggan mengulas lanjut.

“Mungkin lebih wajar jika persoalan ini diajukan terus kepada pihak penaja," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS