Buat julung kalinya, sebuah konsert menampilkan pemenang Anugerah Grammy dari Iran, Kayhan Kalhor, bakal dilangsung pada 15 September ini di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur.
Menurut penganjur, Eddin Khoo, konsert Under The Persian Musical Sky itu diadakan untuk mendidik masyarakat secara umum agar peka terhadap kepelbagaian tradisi kebudayaan yang wujud dalam dunia Islam.
“Konsert ini membolehkan rakyat Malaysia dan pelancong asing menikmati pengalaman berhubung budaya Islam secara menyeluruh, kerana jika tidak ia akan berpuak-puak.
“Memang banyak perbahasan tentang Islam di sini, bagaimanapun ia tidak begitu meluas dari sudut pandang kebudayaan.
“Apabila kita lebih terdedah dengan pengalaman menonton secara langsung, dapatlah kita bentangkan budaya dunia Islam yang sememangnya luas dan berbeza daripada yang lain,” katanya kepada Malaysiakini.
Under The Persian Musical Sky dianjurkan pertubuhan PUSAKA dengan kerjasama Muzium Kesenian Islam Malaysia.
Kerjasama itu turut mendapat sokongan Majlis Kesenian Kanada, Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia dan Hotel Perdana PNB & Suites on The Park.
Khoo yang juga pengasas dan pengarah PUSAKA ditemui pada sidang media yang berlangsung di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur pagi tadi.
Turut hadir, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Hotel Perdana PNB & Suites on The Park, Zaid Jamaludin; Kaunselor Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia, Timothy Mackey; dan Penolong Pengarah Muzium Kesenian Islam Malaysia Rashidah Salim.
Kehadiran Kalhor (gambar) akan diiringi pemuzik adik-beradik Kiya dan Ziya Tabassian dari kumpulan Constantinople Ensemble yang berasal dari Montreal, Kanada.
Tiket dijual pada harga RM350 untuk VIP, RM250 (utama) dan RM180 (standard). Bagaimanapun tiket bernilai RM100 laris dijual.
Bersempena konsert itu juga, turut diadakan syarahan umum muzik dalam dunia Islam yang akan bermula jam 3 hingga 4 petang dan bengkel muzik klasik Parsi (2 hingga 4 petang) juga pada hari sama.
Dalam pada itu, Khoo berharap Under The Persian Musical Sky dapat menjadi titik tolak kepada siri konsert yang berterusan sejajar dengan matlamat PUSAKA mahu memartabatkan peranan Muzium Kesenian Islam Malaysia sebagai sebuah platform antarabangsa.
“Saya berharap dapat mempromosi budaya Malaysia di seluruh dunia. Ini kerana kami sedia maklum begitu ramai orang dari luar sana tertarik untuk datang ke sini.
“Justeru, kami ingin wujudkan landasan budaya untuk rantau Asia Tenggara yang berpangkalan di Malaysia,” katanya.