Bakat baru dalam bidang nyanyian Harissa Adlynn Halim bertegas ingin berdiri atas keupayaan sendiri untuk mencipta nama berbanding mencetuskan kontroversi menggunakan gimik murahan.
Remaja berusia 15 tahun itu juga percaya keberkatan atas setiap usaha yang jujur akan mengundang rezeki melimpah-ruah.
“Saya tidak percaya dengan perkara-perkara membabitkan gimik kerana anggap ia sebenarnya perbuatan menipu.
“Jujur dengan diri sendiri dan orang ramai, cukuplah dengan cara itu untuk hasilkan muzik yang bagus,” katanya.
Harrisa menceburkan diri dalam bidang seni seawal usianya sembilan tahun. Bakatnya terserlah bukan saja dalam bidang nyanyian tetapi termasuk tarian dan juga menulis lirik.
Selain memiliki rekod cemerlang dalam bidang akademik, Harissa turut banyak menimba pengalaman sebagai anak seni sebelum bergelar seorang penyanyi.
Aku Sayang Kamu - single pertama Harissa - ditempatkan sebagai runut bunyi drama Wanita Terindah selain turut menjadi lagu tema pernikahan pasangan popular Fattah Amin dan Fazura.
Meskipun segala-galanya bergerak begitu pantas, Harissa sedar perjalanan kariernya masih panjang.
Harrisa berharap dia akan menjadi seorang penghibur yang datang dengan “pakej.”
“Tiada siapa sangka saya akan bergelar seorang penyanyi secepat ini, baru tahun lepas saya tandatangani kontrak. Ini langkah yang amat besar dan bererti untuk saya.
“Ibu bapa saya memberi sokongan penuh tetapi mereka meletakkan syarat iaitu harus pastikan pelajaran diutamakan, baru boleh teruskan bidang nyanyian.
“Saya juga seboleh-bolehnya ingin menjadi seorang penyanyi yang memiliki pendidikan tertinggi,” katanya yang turut memasang impian untuk menjadi seorang pakar forensik.
Harissa ditemui pada majlis pelancaran filem pendek 3.25 minit Kembali bersama Jamu Susuk Dara di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ia adalah sebahagian daripada promosi produk baru keluaran JSD Holdings Sdn Bhd, Kopi Anggun Pesona dan Kopi Pacak Power.