WAWANCARA | Kelantangan Ellie Suriaty Omar mengecam Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dibuat kerana aktres itu tidak rela melihat kerajaan baru itu terus memegang tampuk pemerintahan untuk lima tahun lagi.
Bagi Ellie kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad banyak mempamerkan kelemahan HARAPAN malah ia gagal menunjukkan sisi yang positif selepas dua bulan menerajui negara.
Ikuti sambungan wawancara Malaysiakini dengan pelakon, pengarah dan penulis skrip itu:
Malaysiakini: Apa harapan Ellie untuk Malaysia pada masa akan datang?
Ellie: Lagi lima tahun kita nak ambil alih. Kita boleh lihat pentadbiran sekarang huru-hara.
Malaysiakini: Mengapa Ellie berkata demikian? Apa yang Ellie tidak puas hati dengan HARAPAN?
Ellie: Mereka hanya harapkan Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah ada dalam kabinet. Menteri-menteri lain tu tak ada pengalaman. Dulu bolehlah nampak perdana menteri dan menteri sama-sama handal.
Tengoklah siapa barisan menteri dalam BN.
Dr Mahathir kembali menjadi perdana menteri selepas 15 tahun pada usia 93 tahun. Saya bukan nak biadab tetapi ini satu perbezaan amat jauh berbanding kali pertama beliau menjadi perdana menteri pada 1981 dulu.
Keadaan sudah tidak sama apabila beliau kembali pada 2018. Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga tak pandai menguruskan Malaysia.
Dia bukan saja spin (putar belit) sebab dakwa hutang negara cecah RM1 trilion, tetapi turut menyalahkan kerajaan terdahulu.
Buka pula Tabung Harapan Malaysia. Macam mana bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak boleh janjikan kenaikan gaji dan banyak insentif untuk penjawat awam jika ekonomi negara tidak kukuh?
Malaysiakini: Adakah ini bermakna demi masa depan, untuk mendapat sokongan rakyat dalam tempoh lima tahun ini Ellie harapkan akan berlaku apa-apa kerjasama antara PAS dan BN?
Ellie: Saya seronok jika BN bergabung dengan PAS. Ini adalah sesuatu yang saya nanti-nantikan sejak sekian lama.
Mungkin tidak melibatkan mana-mana orang masuk keahlian parti kerana mereka ada parti masing-masing, tetapi bagi saya gabungan itu perlu ada kerana amatlah rugi orang Melayu tidak bersatu.
Ellie juga menjawab berhubung kemunculannya pada himpunan bersama pertubuhan bukan kerajaan sambil menyatakan sokongan penuh terhadap institusi beraja, bangsa Melayu dan agama Islam.
Disebabkan pendirian dan aksi-aksinya di himpunan berkenaan Ellie diselar segelintir pihak kerana disifatkan mengamalkan perkauman.
Malaysiakini: Dituduh sebagai rasis, bagaimana pendirian Ellie berhubung perkara ini?
Ellie: Memang ramai yang menuduh saya rasis. Kalau benar saya rasis, saya takkan masuk pertubuhan bukan kerajaan Pergerakan Sivil dan Hak Asasi Manusia Malaysia (CHaRM) dan Pemantau Malaysia Baru.
Saya hanya bersuara mengenai penindasan terhadap bangsa Melayu dan Islam. Jika orang kita nafikan perkara itu maka ia satu kerugian. Kalau tak bersuara dan saya tak lakukan sesuatu, apakah isu itu akan reda dengan sendiri?
Malaysiakini: Ellie dilihat sebagai satu karakter yang tegas menyuarakan kesetiaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V baru-baru ini, boleh komen?
Ellie: Kenapa ada budak minta hapuskan sistem beraja dalam kerajaan? Adakah dia tidak tahu berapa juta lagi rakyat masih kasihkan raja-raja? Raja adalah penimbang tara dan seharusnya kita bersyukur ada sembilan raja di negara ini.
Raja Melayu adalah pakaian kita. Itu melambangkan jiwa bangsa sebelum kedatangan orang Cina dan India. Orang Melayu dan penduduk asli adalah rakyat asal.
Melayu Nusantara kuat, adakah kita ingin jadi seperti di Indonesia apabila suatu ketika dulu raja-raja mereka dibunuh?
Baca 'Manifesto HARAPAN... babi pun boleh terbang'
Malaysiakini: Pada pandangan Ellie, mengapa timbul isu sedemikian?
Ellie: Pada saya mereka tidak faham atau mungkin terpengaruh dengan idea-idea politik luar. Duduk terlalu lama belajar di luar negara dan bawa idealisitik itu ke Malaysia. Tetapi dia harus faham Malaysia bukan Amerika.
Apabila saya bangkit perjuangkan agama dan bangsa, itu memang tanggungjawab saya.
Saya tak nak terkilan suatu hari nanti kerana tidak berbuat apa-apa.
Wawancara 1 - Curhat Ellie: Mengapa saya tak boleh bersuara?
Wawancara 2 - Ellie nafi disiasat, tegas tak ambil 'dedak'