Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Anugerah Telenovela yang dianjurkan untuk memberi penghargaan kepada warga seni yang giat menterjemahkan karya novel kepada drama dan filem, kembali untuk edisi ketiga tahun ini.

Anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), edisi kali ini diadakan sempena Festival Industri Kreatif dan bakal diadakan di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Julai ini.

Menjawab salah faham yang mungkin timbul, Pengerusi YPBN Hasan Hamzah menegaskan acara itu bukanlah hiburan semata-mata dan tidak sama dengan anugerah lain.

“Mungkin ada yang salah faham dengan kewujudan anugerah ini. Ingin saya tegaskan bahawa Anugerah Telenovela bukan untuk hiburan saja.

“Ia untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat industri kreatif seperti penulis buku dan novel di negara kita,” katanya dalam sidang media Anugerah Telenovela di KLCC hari ini.

Mereka yang tidak berpeluang ke Dewan Plenary boleh mengikutinya secara langsung di Facebook Viral TV Station.

Acara itu akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul rahman dan diserikan dengan persembahan penyanyi antaranya Syamel, Asfan dan Firman.

Kali ini sebanyak 46 kategori akan dipertandingkan dengan sejumlah 41 pencalonan diterima daripada 13 penerbit novel.

Antaranya adalah Novel Adaptasi Terbaik, Novel Popular, Ratu Telenovela Serba Dinamik, Telenovela Popular, Pelakon Lelaki Sensasi, Pelakon Wanita Sensasi, Novelis Best Seller, Anugerah Khas, Primadona Telenovela, Seniwati Lagenda dan Tokoh Penghibur Sepanjang Zaman.

Bagi kategori drama adaptasi, antara yang tersenarai adalah Hero Seorang Cinderella, Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin, Mencintaimu Mr Photographer dan Red Velvet.

Antara barisan pelakon yang bakal berentap bagi kategori pelakon terbaik dan popular drama adalah Emma Maembong, Syafiq Kyle, Alif Satar, Zul Ariffin, Amyra Rosli, Nur Fazura dan Anzalna Nasir.

Bagi filem adaptasi, penganjur hanya menerima lima pencalonan iaitu Tombiruo: Penunggu Rimba, Bisik Pada Langit, Kimchi Untuk Awak, Kau Yang Satu dan Jibam.

Jika sebelum ini anugerah hanya diberikan kepada drama bersiri dan filem (dengan telefilem dimasukkan bawah drama bersiri), kali ini telefilem diberi penghargaan khusus.

Untuk kategori itu, sebanyak empat pencalonan diterima iaitu Kalbu Pun Berzikir, #suamiisteri, Srengege dan Wanita Terindah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS