Pelakon dan pengarah Ellie Suriaty kelihatan tekal dengan sikapnya dan tidak menunjukkan sebarang perubahan terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN).
Malah dia tetap tegar mempertahankan BN serta bekas pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak.
Menggunakan saluran Instagram, kali ini pelakon berkenaan menggabungkan kata-kata pedasnya dengan satu klip video menunjukkan seekor babi sedang berenang-renang sebagai mengecam HARAPAN.
Menurut Ellie, HARAPAN tidak dapat menunaikan janji yang digembar-gemburkan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu.
"Sebelum, semasa PRU ke-14 kempen janji-janji 100 hari Manifesto HARAPAN oleh calon-calon HARAPAN, dia punya berkobar-kobar menjanjikan sebuah mitos sampai babi pun boleh terbang!" katanya.
Ellie juga merujuk kepada penjelasan mengenai pelaksanaan janji manifesto HARAPAN oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang parlimen 19 Julai lalu.
"Sekarang sudah jadi kerajaan HARAPAN, jawapan kepada mitos manifesto HARAPAN yang tak dapat di tunaikan adalah... Manifesto janji 100 hari HARAPAN bukan ada dalam bible, bukan ada dalam kitab suci. Manifesto janji 100 hari HARAPAN cuma garis panduan saja. Hmmh! Garis panduan apa tu?
"Mesti jawabnya: Saya tak tahu'... Kini babi tak boleh terbang lagi... Babi berenang-renang pula dalam sungai yang nyaman! Oh ya, ternakan babi akan dinaik taraf juga! Tahniah kerajaan HARAPAN," katanya.
Ellie merujuk kepada sidang parlimen itu, ketika Dr Mahathir ditanya Anggota Parlimen Rembau Khair Jamaluddin Abu Bakar berhubung manifesto pada pilihan raya umum.
Dr Mahathir berkata terdapat beberapa rintangan perlu diatasi sebelum janji-janji manifesto HARAPAN dapat ditunaikan termasuk aspek-aspek perundangan.
Bagaimanapun, dalam kiriman di Instagram itu, Ellie yang juga pelakon filem Jangan Tegur dikecam salah seorang pengikutnya sebagai meroyan.
Ellie mempertahankan kiriman dan kenyataan yang dibuatnya dan menyorot bahawa dia bebas untuk berbuat demikian.
"Apa benda budak ni? Mental ke dik? Ini Instagram saya le. Apa yang teruknya? Apa yang meroyannya?" katanya.
Ellie malah mempersoalkan netizen terbabit sama ada dia faham situasi berlaku dalam negara ataupun tidak.
"Kamu suka agama Islam ditindas? Kamu suka bangsa Melayu makin dipinggir? Kamu faham tak apa yang sedang berlaku sekarang ini?
"Ke kamu marah kalau saya tak sokong hak sama rata yang telah melanggar kontrak sosial di dalam Perlembagaan Persekutuan?
"Dan kamu marah kalau saya bantah pengiktirafan UEC? Dan kamu marah saya bantah kempen Comango? Ke kamu tak faham apa-apa sebenarnya? Apa yang teruk sangat ni perempuan?" soalnya.