Tidak sampai seminggu filem Blok 404 ditayangkan, pengarah Isma Yusoff menyatakan rasa terkilan terhadap rakan-rakan yang dianggap tidak menyokong karya terbarunya itu.
Pengarah itu berkata, sebelum ini ramai memintanya supaya pulang dari Langkawi dan kembali berkarya.
Namun apabila Blok 404 ditayangkan, filem itu tidak menerima sambutan daripada mereka seperti yang diharapkan.
"Masa aku blah dari KL, merempat kat Langkawi tak nak shooting (filem) dah, ramai gak yang datang pujuk suruh balik direct (mengarah) balik.
“Bila aku balik mengarah filem #blok404 kat wayang berapa kerat je sokong. Lawak kan? Suatu hari nanti aku kat #hollywood aku bawa berapa kerat yang menyokong aku ni je.
"Yang lain teruskan jadi munafik (berpura-pura),” kata Isma melalui akaun Facebook miliknya.
Melalui semakan Malaysiakini pada status sama, sebahagian netizen enggan menonton filem diberi klasifikasi 18 itu kerana ia diterbit dan dilakonkan oleh Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman.
“Aku tak pergi tengok sebab si belon Iman punya filem, itu saja. Kesian dengan ramai-ramai mangsa penipuan dia tu,” kata seorang netizen.
Filem berkenaan yang menemui penonton pada 28 Jun lalu membariskan pelakon baru dan lama antaranya Amar Asyraf, Nur Risteena Musnim, Nadia Brian, Raja Azrey, Zamarul Hisham, Aedy Ashraf, Fasha Sandha, Kamal Adli dan Kilafairy.
Boy Iman yang bertindak sebagai penerbit juga turut diberi kepercayaan oleh pengarah untuk membawa antara watak penting di dalam Blok 404.
Filem itu diinspirasikan daripada telefilem bercorak cemas dan seram menggunakan judul sama diarahkan Silver Chung yang pernah mencetuskan fenomena 17 tahun lalu.
Pada ketika itu, telefilem berkenaan dikeluarkan dalam bentuk format DVD. Namun, versi diterbitkan kali ini tidak menggunakan acuan penceritaan sama seperti yang terkandung dalam DVD.
Sebelum ini Boy Iman pernah terpalit kontroversi berhubung dakwaan penipuan pembelian dan jualan rumah membabitkan nilai kira-kira RM6.2 juta.
Sementara itu, Boy Iman ketika ditemui sewaktu malam pratonton filem berkenaan di Petaling Jaya baru-baru ini membuat kenyataan berani tidak akan mengambil kisah sekiranya filem yang diterbitkannya itu tidak mendapat sambutan mahupun diboikot.
Boy Iman juga percaya seburuk-buruk kontroversi adalah publisiti malah apa pun situasi dialami mampu membantu untuk melonjakkan namanya dalam industri seni.
“Saya tidak ambil peduli atau pusing kerana di bawah Malaysia Baru kena ada pemikiran baru, jangan berada dalam kongkongan lama.
“Kontroversi pula membantu sedikit-sebanyak membuatkan nama saya lebih dikenali, ramai datang nak tegur, sedangkan sebelum ini tiada siapa yang kisah,” katanya.