Sempena Malaysia Baru, vokalis Wings Datuk Awie yang pernah terbabit secara tidak langsung dalam kempen berkaitan pilihan raya umum BN memasang harapan agar kelangsungan kariernya sebagai anak seni tidak terjejas.
Kini bersikap terbuka untuk menyokong kerajaan Pakatan Harapan - kerana berpendapat artis tidak sepatutnya berpihak kepada mana-mana parti - Awie berkata dia sedia membantu jika diperlukan.
Penyanyi yang juga pelakon itu bagaimanapun menyedari dia tidak dapat mengelak daripada berdepan kecaman orang ramai yang akan menganggapnya tiada pendirian.
“Dulu saya lakukan (aktiviti berkaitan kempen) kerana ingin meneruskan kesinambungan hidup bagi menanggung anak dan isteri, tetapi kemudian mendapat musibah apabila dimaki hamun sebagai anjing atau barua Umno.
“(Tapi) jika kerajaan sekarang perlukan, saya tak keberatan berkempen dan menceritakan kebaikan yang ada pada mereka agar masyarakat boleh mengetahui perkembangan terkini negara.
“Ia memang menjadi tanggungjawab artis menguar-uarkan kebaikan kerajaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media mempromosi filem terbaru lakonannya, Hantu Kak Limah, di Kuala Lumpur semalam.
Namun pemilik nama penuh Ahmad Azhar Othman itu berpegang teguh kepada pendirian menyokong kepimpinan yang terbentuk selepas PRU pada 9 Mei lalu.
Kata Awie, 49, keputusan itu bukan kerana dia mempunyai sifat yang boleh diibaratkan seperti lalang.
“Siapa lebih bagus memimpin rakyat, itulah yang kita akan sokong,” katanya.
Selama 33 tahun bergelumang dalam dunia hiburan, Awie yang popular dengan filem seperti Sembilu, Cuci dan Baik Punya Cilok itu berkata dia telah menempuhi pelbagai peristiwa.
“Saya pernah berkempen untuk kerajaan sejak Tun Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri kali pertama, sampailah ke Datuk Seri Najib Razak.
“Pelbagai perkara sudah dilalui tetapi yang jelas artis sentiasa berada di depan sebagai jentera membantu kerajaan,” katanya sambil menegaskan undi sememangnya rahsia.
Sementara itu, berkongsi lanjut mengenai pembabitannya dalam karya arahan Mamat Khalid, Awie berkata, tinggi harapannya untuk melihat karya dihasilkan pengarah popular berkenaan berjaya membeli jiwa peminat.
“Saya tidak bosan melakonkan watak sebagai Husin kerana Mamat Khalid sentiasa menonjolkan pelbagai sisi yang terdapat pada karakter itu.
“Meskipun Hantu Kak Limah menggabungkan kombinasi antara pelakon lama dan baru seperti Uqasha Senrose, kami tidak berdepan sebarang masalah untuk menjayakan filem itu kerana masing-masing menghormati pengarah,” katanya.