Sharifah Sakinah meminta orang ramai cuba memahami mesej disampaikan telemovie Bini Dari... sebelum membuat sebarang tuduhan liar ke atas naskhah yang didakwa mempermainkan agama itu.
Aktres yang membawa peranan sebagai Lydia dalam drama terbitan Astro Warna itu berharap masyarakat tidak berterusan meletakkan persepi negatif tanpa memandang kebaikan yang dipaparkan.
“Untuk mereka yang sesuka hati kecam drama kerana beranggapan kami mempermainkan agama tolong tonton secara keseluruhan dan mengambil iktibar daripada mesej disampaikan.
“Bukan niat kami pun untuk mempermainkan agama (atau) memerli seperti yang kamu sangkakan. Takkan kami berani nak buat begitu.
“Kisah itu mengandungi pengajaran dan moral walaupun karakter sedikit bengap supaya kami boleh menyampaikan mesej secara ringan melalui babak yang kelakar,” katanya melalui Instagram.

Sakinah, 29, berkata watak Lydia yang dibawanya itu merupakan seorang isteri yang naif dalam mempelajari selok-belok ilmu agama.
Menurutnya, karakter yang senang membuat rumusan itu ibarat mempunyai persamaan dengan sikap netizen yang gemar membuat andaian melulu.
“Lydia tidak mengambil berat untuk betul-betul mempelajari agama, dia hanya membuat andaian berdasarkan fakta tidak lengkap atau fatwa daripada Google.
“Lepas itu dia jadi sangat ekstrem tanpa guru yang betul atau membuat penyelidikan lanjut, dengar pun separuh-separuh.
“(Sama) Macam penonton yang serang inilah, tengok pun agaknya separuh-separuh,” katanya.
Malah, katanya lagi, sewaktu menzahirkan watak Lydia, dia cuba meletakkan dirinya sebagai seorang pelakon berbanding seorang pelawak.
“Saya berpuas hati sekiranya penonton terhibur dengan kisah berkenaan selain mengambil iktibar daripada mesej yang kami cuba sampaikan,” katanya lagi.
