Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mempunyai harapan buat kerajaan baru selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.
Katanya, dia berharap kerajaan dapat memberikan keutamaan kepada rakyat dalam segala hal serta mengukuhkan ekonomi negara.
Siti berkata kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14 baru-baru ini juga membawa bersama banyak berita gembira buat rakyat Malaysia.
"Kita dapat banyak berita gembira, antaranya tiada lagi GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) tidak lagi wujud dalam proses jual beli," katanya.
Sebagai artis yang turut berniaga, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin berkata, pengumuman kerajaan itu sangat dialu-alukan.
Malah katanya dia juga berharap kemenangan Pakatan Harapan turut membawa sinar untuk seluruh rakyat di negara ini.
Siti, 39, ditemui media pada majlis berbuka puasa bersama Shopee di Kuala Lumpur malam tadi.
Siti antara enam artis wanita yang dilantik sebagai pelopor Skuad Selebriti Shopee, satu inisiatif baru yang membolehkan pengguna mendapatkan koleksi produk dikeluarkan selebriti kesayangan mereka.
Lima lagi artis yang membarisi Skuad Selebriti Shopee untuk platform e-dagang Shopee terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan itu adalah Nora Danish, Izara Aishah, Elfira Loy, Heliza Helmi dan Emma Maembong.
Pakatan Harapan berjaya mengetepikan BN untuk kali pertama melalui PRU14 yang diadakan pada 9 Mei lalu.
Sebelum ini pun Siti memang dikenali menunjukkan sokongan kepada perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu Siti Nurhaliza berkata sebagai persiapan menyambut hari raya Aidilfitri tidak lama lagi dia belum membeli-belah untuk anaknya, Siti Aafiyah.
Kata Siti dia juga mendapat banyak hadiah daripada peminat.
"Saya masih ada pakaian sedia ada dan tidak mahu berbelanja sehingga membazir.
"Untuk hari raya ini saya lebih teruja untuk siapkan anak berbanding diri sendiri," katanya.