Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Henti lantik orang politik, pegawai kerajaan pimpin FINAS'

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Perfileman Malaysia (FINAS) meletak jawatan hari ini kurang seminggu selepas kerajaan baru dibentuk.

Difahamkan, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib membuat keputusan itu dalam mesyuarat yang diadakan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya bermula jam 4 petang tadi.

Malaysiakini masih cuba mendapatkan reaksi beliau berhubung perkara ini.

Terdahulu, pengarah Ahmad Idham mencadangkan agar tiada lagi ahli politik atau pegawai kementerian dilantik sebagai pengerusi badan itu.

Ahmad Idham berkata perkembangan perfileman dalam negara akan kekal berada di takuk lama sekiranya individu yang tidak faham selok-belok industri dilantik mewakili mereka.

“Sudah bertahun-tahun kita melihat pengerusi yang menerajui FINAS terdiri daripada individu yang memegang jawatan sebagai ahli politik. Pendekatan digunakan pemimpin politik tidak sama dengan penggiat seni yang berpengalaman.

“Justeru dengan kemenangan Pakatan Harapan selepas PRU ke-14, saya ingin melihat kerajaan baru tidak lagi mengamalkan perkara itu," katanya ketika menghubungi Malaysiakini.

Finas adalah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Mohd Khusairi yang juga Anggota Dewan Undangan (DUN) Slim berjaya mengekalkan kerusinya apabila mengalahkan calon PKR dan PAS dengan majoriti 2,183 undi.

Ramai jadi lalang

Pengedar filem Qhaliq itu berkata pelantikan ahli politik atau pegawai kerajaan berisiko menjadikan organisasi itu lari daripada tujuan asalnya.

Misalnya, dia berkata FINAS dibimbangi digunakan untuk kepentingan politik melebihi aspek memperjuangkan nasib anak seni.

"Saya bimbang lihat begitu ramai yang berubah menjadi 'lalang' sekelip mata, malah ada yang berlumba-lumba untuk berlaga bahu dengan perdana menteri selepas PRU14.

"Bimbang juga ahli politik dan pegawai kementerian yang akan dilantik sebagai pengerusi nanti menyambut tangan salah.

“Oleh itu pelantikan seperti ini harus dihentikan, jika tidak industri perfileman akan terjejas dan merudum," katanya lagi yang sering menyuarakan pandangan di media sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS