Pada waktu-waktu ramai orang bersikap luar biasa sempena penubuhan kerajaan baru ini, penyanyi terkenal Ito tampil memberi amaran.
Vokalis Blues Gang itu meminta rakan artis supaya lebih cermat mengambil sikap bagi mengelakkan mereka tersalah langkah atau dipergunakan.
Kata penyanyi lagu Sakit, Sakit, Sakit itu dalam keadaan semasa dia menjangkakan bakal banyak 'ulat' bermunculan untuk menonjolkan diri kononnya pejuang seni yang sealiran dengan kerajaan.
"Mereka yang selama ini menjadi parasit dalam industri seni akan tampil dalam tempoh terdekat walaupun baru sehari dua lalu mereka adalah menentang kuat Pakatan Harapan," katanya kepada Malaysiakini.
Pakatan Harapan (HARAPAN) membentuk kerajaan selepas berjaya memperoleh kerusi majoriti di Dewan Rakyat hasil pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.
Ia adalah kejayaan pertama pakatan pembangkang mengetepikan dominasi BN sejak ia ditubuhkan.
Dengan kejayaan itu Putrajaya menyaksikan kemunculan semula Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Menurut Ito walaupun begitu dari konteks demokrasi dia bersikap terbuka dan terserah kepada mana-mana pertubuhan atau individu yang mahu berjumpa perdana menteri atau menteri.
Cuma katanya pihak yang berkenaan perlu sedar kerajaan hari ini berbeza daripada BN dulu.
"Ini bukanlah kerajaan yang makan ampu dan jilat seperti yang sebelum ini.
"Jika mahu datang, datanglah dengan pendirian yang jelas dan rekod pencapaian yang cemerlang dari segi sumbangan terhadap industri," katanya.
Difahamkan kenyataan itu juga dibuat ekoran perkembangan semasa yang menampakkan ada pihak yang cuba mengadakan himpunan penggiat seni tidak lama lagi.
Menggunakan nama Pakatan Harapan penganjur kononnya mengajak artis tanah air bertemu bagi membicangkan masa depan seni hiburan negara.
Mesej program artis beredar
Hasil perbincangan itu didakwa akan dikemukakan kepada kerajaan bagi mendapat persetujuan dan pelaksanaan.
Mesej mengenai program itu dikatakan mula beredar sejak akhir-akhir ini.
Kata Ito sebenarnya dengan pembentukan kerajaan baru HARAPAN ini penggiat seni mempunyai peluang untuk membangunkan kembali bidang seni tanah air, terutamanya muzik yang agak malap selama ini.
"Tambahan pula perdana menteri belum membuat sebarang pelantikan menteri yang bertanggungjawab mengendalikan bidang seni dan penyiaran. Harap mereka boleh bersabar," katanya.