Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Puisi Panjang Untuk Mahathir - selepas lebih 30 tahun

Puisi yang berjudul Puisi Panjang Untuk Mahathir punyai makna dan sejarah tersendiri buat saya.

Ia ditulis tak lama selepas Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri pada 1981 dan akan menghadapi pilihan raya umum April 1982.

Waktu itu Dr Mahathir disukai kebanyakan rakyat Malaysia, termasuk golongan penulis dan budayawan. Beliau membawa harapan baru.

Saya bersama kawan-kawan dalam Grup Teater Elit menganjurkan Malam Puisi Untuk Mahathir yang dibuat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Satu pernyataan sokongan para penulis/penyair terhadap kepemimpinan Dr Mahathir waktu itu. Dan Dr Mahathir pun dalam kesibukan jadual kempennya sempat meluangkan malam itu hadir ke DBP.

Beliau terharu dengan sambutan kami terhadapnya, hingga waktu dia berucap dia menjadi sebak dan tak dapat meneruskan ucapan.

Itu tahun 1982, di musim awal kepemimpinannya sebagai perdana menteri.

Kemudian setelah beberapa tahun, keadaan berubah. Dia mulai kurang disenangi sebahagian rakyat kerana beberapa dasar dan tindakannya.

Kemuncaknya ialah pada 1998 apabila berlaku krisis antara Dr Mahathir dengan timbalannya Anwar Ibrahim, yang kemudiannya mencetuskan gerakan Reformasi menuntut dia berundur. Selepas itu adalah sejarah yang diketahui semua orang.

Saya merakamkan kemarahan rakyat waktu itu dalam puisi berjudul Macam Orang Gila (1999).

Setelah 22 tahun Dr Mahathir pun berundur, digantikan Abdullah Badawi. Apabila tidak berpuas hati dengan gaya kepemimpinan penggantinya itu, (yang dia memilihnya), Dr Mahathir mendesak supaya dia berundur. Akhirnya Abdullah berundur, digantikan dengan Najib Razak (juga pilihan Dr Mahathir).

Hal yang sama berlaku pula dengan Najib. Tetapi Najib enggan berundur, malah memperkuatkan kedudukannya dengan pelbagai usaha yang menggunakan wang, berdasarkan kepercayaannya, cash is king.

Hairannya, gerakan Reformasi pimpinan Anwar bersama parti PKR yang disokong tokoh-tokoh pimpinan dari parti PAS dan DAP seperti tidak berupaya menghalang kerakusan Najib mengumpul kekayaan peribadi dan menjual harta negara kepada kuasa luar.

Dalam suasana ketidakupayaan rakyat inilah Dr Mahathir menghadirkan dirinya dalam wajah dan perwatakan baru yang memihak kepada rakyat, dan dia disambut baik oleh Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu.

Saya turut menandatangani Deklarasi Rakyat anjuran Dr Mahathir itu, atas cadangan Lim Kit Siang.

Sedikit demi sedikit Mahathir menempatkan dirinya ke dalam perjuangan rakyat Malaysia menentang kedurjanaan Najib, yang saya melihatnya sebagai proses yang sangat halus dan lembut, yang tanpa disedari perlahan-lahan mengubah persepsi dan tanggapan rakyat Malaysia yang selama ini begitu marah dan benci, berubah menyukai dia dan mengharapkan dia untuk aktif mempimpin ke arah menyelamatkan Malaysia.

Deklarasi Kuala Kangsar

Saya pada awal proses kehadiran semula Dr Mahathir ini agak skeptikal untuk mempercayai kepemimpinannya lagi, kerana selama ini saya melihat dia sebagai faktor utama ‘kerosakan’ rakyat Malaysia menjadi manusia-manusia yang materialistik dan oportunistik, hingga mudah ditunggangi Najib dan Rosmah yang ‘gila duit’ itu.

Tetapi proses itu seperti ada suatu keajaiban yang luar biasa, mengubah bukan sahaja persepsi tetapi juga sikap dan kepercayaan berjuta rakyat Malaysia.

Kebetulan pada 26-27 April, sehari sebelum penamaan calon, kami mengadakan pertemuan kecil seniman dan aktivis teater Malaysia-Indonesia di Kuala Kubu Bharu.

Saya teringat peristiwa Malam Puisi Panjang Untuk Mahathir 1982. Kebetulan kumpulan Paksi dan ZK Nusantara juga menyambut ulang tahun pertama ‘Deklarasi Kuala Kangsar’ (DKK), suatu deklarasi mengangkat ‘Tekad Budaya’ ke arah mengimbangi Tekad Politik.

Atas semangat DKK itu saya menjemput empat tokoh utama politik Pakatan Harapan – Dr Mahathir, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu - kiranya mereka sudi datang menemui kami di Kuala Kubu Bharu, pada bila-bila masa dalam tempoh pertemuan itu.

Ini sebagai pernyataan sokongan kami segolongan seniman-budayawan yang sekian lama menyokong gerakan Reformasi, kini turut berharap bersama Pakatan Harapan.

Dan kami bercadang untuk mengadakan pula "Malam Puisi Panjang Untuk Mahathir (2)", dengan harapan Tun Dr Mahathir akan sudi hadir juga walaupun kita tahu dia punyai jadual kerja yang sangat sibuk sekarang.

Itu harapan kami.

Semoga dia akan meluangkan waktunya seperti dia pernah meluangkan waktunya yang sibuk pada April 1982 dulu. Insya Allah.

Berikut adalah karya itu yang sekali lagi dipaparkan selepas 36 tahun dibaca kali pertama:

PUISI PANJANG UNTUK MAHATHIR

Kutulis puisi ini
kerana aku terpanggil
menyampaikan suaraku
pada seorang lelaki
yang sanggup berani tabah mengambil
tanggungjawab terbesar di bumi daerah ini
walau apa pun kata dan tuduhan apa pun
cabaran dan bahaya meletakkan tangan
di atas bumbung di tapak rumah berjuta manusia
meletakkan diri di lembah hati manusia
suka dan tak suka
kutulis puisi ini
kerana aku ingin hantarkan
getar suaraku, pada lelaki itu
yang berdiri membuka tangan dan dada
di hadapan amarahku dan di hadapan amarah
berjuta-juta sahabatku, dengan berani

Orang keempat atau ke berapa pun engkau
mengatur jawapan kepada segala soalan
teka-teki dan tuntutan hak, engkaukah
yang berjaya atau akukah yang tergoda?
Pancaran tajam halus cahaya matamu
tiupan angin segar lembut dan keras nafasmu
menyelinap masuki dinding taman laranganku
atau akukah yang tiba-tiba ingin kerana sepi
dan rindu jadi tergerak tangan jemari
membuka pintu, atau
barangkali kejadian kebetulan
tak pastilah aku

-ii-

Sudah bertahun-tahun
kita menumpang
di bumi subur ini

Sudah bertahun-tahun
kita bermain dengan bayang-bayang
di rumah besar ini

Ada sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan hari ini
ada sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan di sini
ada sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan kita
ada hantu kiranya, di rumah
ada hantu di jalan ada hantu di pejabat
ada hantu di sekolah ada hantu di padang ada
hantu di hutan ada hantu di hotel ada hantu
di TV ada hantu di pantai pun ada hantu
di parlimen?
di hati sendiri?
di hati sendiri!

Aku sudah lama tidak bertemu dengannya
tidak mendengar suaranya, sudah lama
kerana bunyi enjin dan mesin terlalu bising
hantu berbagai imej dari carahidup orang moden
sentiasa sibuk melintas di depan kening


-iii-

Sudah bertahun-tahun
kita menumpang
di bumi subur ini

Sudah bertahun-tahun
kita mengejar hantu
di rumah besar ini

Puisi ini sekadar ingin mengingatkan diri
bahawa walau sebagai seniman pun sebagai
apa pun seperti siapa-siapa pun
pimpinan negara pasti juga
mempengaruhi erti wujudku, mahu
mahupun tidak, aku terjebak
dan aku tak dapat melihat
di sini ada makna kekecualian

Mengingati ini
aku tringatkan kepada gadis remaja
yang ingin sentiasa kubawa ke pantai
melihat permainan laut luas dalam
dan sesekali ke pinggir gunung
bermain air terjun
sesekali ke padang
berlari dan duduk menghirup angin
mengingati ini
aku mahu saja hapuskan segala iklan kapitalistik
yang sentiasa merasuk rasafikir anak-anakku
menggantikannya dengan iklan ghaib
cermin hati sendiri

-iv-

Sudah bertahun-tahun
kita mengejar hantu
di rumah besar ini

Sudah bertahun-tahun
kita bermain dengan bayang-bayang
di lembah subur ini

Engkau mimpikan negara merdeka berdaulat
dihormati negara-negara semua di dunia
engkau mimpikan negara teguh ekonomi maju industri maju dagang rakyat rajin kuat bekerja
miskin hilang maju teknologi maju diri
Aku juga bermimpi
taman tempat seniman berkarya
padang tempat fikiran meneroka
rumah tempat menemui diri
aku sentiasa mimpikan
hari ini
manusia tidak menjual manusia
tidak makan manusia untuk
memajukan ekonomi diri

Api letrik dan air paip dulu tidak ada
di kampung, tidak terasa tidak ada, apakan lagi
mahu terasa perlu. Sekarang ini TV sudah jadi
barang perlu dalam hidup, radio telefon
motokar surat khabar dapur gas campur rumah
jumlah semuanya berapa sebulan? Tiap-tiap hari
baca iklan suruh jadi orang moden, cuba
bayangkan selepas ini apa lagi akan jadi barang
perlu! Kerja lapan jam sehari sudah tidak cukup
lagi jadi dua belas jam jadi enam belas jam jadi
dua puluh jam masih ada juga lagi yang belum
dapat dan akhirnya dua puluh empat jam
sehari semalam pun belum juga cukup
mahu punya itu mahu punya ini mahu jadi itu
mahu jadi ini. Heyy!..
macam diri sendiri belum jadi belum ada

Sesekali kita mengejar waktu
sesekali biarlah kita
duduk, diam atau tidak diam
melupakan waktu kerana sesuatu atau
menikmati waktu berlalu ketika kita menikmati
kewujudan diri yang lebih cepat dari waktu
lebih hebat dari waktu

-v-

Kepada mereka yang akan mengisi parlimen
barisan bersih cekap amanah
fikirkanlah semula
makna pembangunan dan kemajuan
untuk manusia
(maaf aku ulangi
untuk manusia)
mengerti dan menikmati
wujudnya

Memang mengerti
dan menikmati kewujudan diri
urusan manusia peribadi
dan itu pun sering diganggu
oleh pembangunan dan kemajuan kebaratan
melalui proses kepintaran jual beli
dan desakan keseronokan mengumpul wang

Sekian lama kami keliru dengan nilai kehidupan
jangan lagi kau tambahkan kekeliruan ini

Pemimpin Perdana
apabila menjadi pemimpin hati-hatilah
apabila benar berani berani juga
akui apabila salah
kerana yang lebih berhak ke atas kami
kamilah sendiri

DINSMAN
(Dibacakan kali pertama pada Malam Puisi Panjang
Untuk Mahathir di Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur, 14 April 1982, dengan kehadiran Dr Mahathir.)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS