Mempunyai pertalian jauh dengan Bagan Datuk, Fattah Amin sendiri menjadi saksi kepada pelbagai kemajuan di satu daripada 12 daerah yang ada dalam Perak Darul Ridzuan itu.
Melalui pengamatan Fattah sehingga kini dia sangat bersyukur atas kemakmuran yang dikecapi penduduk bandar yang terletak tidak jauh dari Teluk Intan itu.
Kata aktor terbabit banyak transformasi berlaku hasil usaha Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mewakili kerusi Parlimen Bagan Datuk sejak 1995.
“Saya Fattah Amin, bukan anak jati tapi cucu jati Bagan Datuk. Memang membesar di sini ayah saya keluarga saya, datuk saya, pakcik saya, semua dari Bagan Datuk.
“Alhamdulillah dari kecil nampak pembangunan Bagan Datuk membangun di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sampai sekarang.
“Dan hari ini saya bersama Zahid untuk melancarkan manifesto BN Bagan Datuk,” katanya dalam sebuah klip video dimuat naik pada akaun Facebook Ahmad Zahid baru-baru ini.
Klip video berkenaan menggunakan muzik latar dari Lagu Bagan Datuk yang menampilkan penyanyi Datuk M Daud Kilau, Yasin, Altimet dan Ramli Rebana serta Firlany Malik.
Ahmad Zahid pula mengiringi klip video berkenaan dengan mengucapkan penghargaannya kepada pelakon filem KL Special Force itu.
“Terima kasih Fattah Amin,” katanya.
Suami kepada aktres dan penyanyi Nur Fazura Sharifuddin itu hadir pada majlis pelancaran Manifesto BN Bagan Datuk itu sebagai memberi tanda sokongan penuh buat Ahmad Zahid menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Manifesto khas PRU14 bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk itu dilancarkan pada 28 April lalu dengan menyasarkan segenap lapisan masyarakat bagi merancakkan pembangunan dan ekonomi daerah berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ahmad Zahid akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk buat penggal keenam pada 9 Mei ini.
Terdahulu, perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak meluluskan peruntukan RM2.3 billion untuk membangunkan Bagan Datuk di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan 11.
Menurut Fattah yang turut berlakon drama bersiri Playboy Itu Suami Aku, kesetiaannya dipastikan tidak berbelah-bahagi sama ada terhadap BN mahupun Ahmad Zahid sebagai tokoh yang amat disanjunginya.
“Saya akan bersama di bawah pucuk pimpinan Zahid Hamidi demi kesejahteraan dan pembangunan Bagan Datuk,” katanya.