Paling Popular
Terkini

ULASAN BUKU | Apakah bendanya cetak rompak, mungkin ada yang bertanya sekarang.

Jika kamu sudah akil baligh pada pertengahan 1980-an, kamu mungkin masih ingat bagaimana gerakan memerangi 'lanun' yang bermaharajalela dalam negara ketika itu berlangsung.

Ada perang yang berlangsung secara perang betul-betul, ada yang secara seni, dan ada pula melalui kaedah undang-undang.

Jika melalui seni, maka kita boleh melihat kepada filem Nasir Jani yang diterbitkan pada 1986, Kembara Seniman Jalanan. Ia adalah sebuah filem Melayu yang kembali dibincangkan 30 tahun kemudian bersama isu-isu semasa dan beberapa kebetulan yang ada di dalamnya.

Pada era itu juga (maksudnya pertengahan 1980-an itulah) ada lagu yang dicipta khusus untuk membasmi kegiatan lanun cetak rompak.

Lagu itu dicipta oleh Lord, manakala liriknya Ali Bakar bersama Ayi. Penyanyinya: Ella, Rahim Maarof, Rosedan Bloodshed dan Nash. Semuanya kira-kira rocker sejatilah.

Dalam lagu Hapuskan Lanun Cetak Rompak itu penyanyi terbabit - yang mewakili suara anak seni - merayu dalam kata-kata berirama untuk menyedarkan orang ramai bahawa amalan memberi karya cetak rompak 'membunuh' mereka.

Apakah yang ironi pada ketika itu?

Entah berapa ramai peminat muzik mendengar suara Ella, Nash, Rosedan dan Rahim menyanyikan lagu Hapuspan Lanun Cetak Rompak itu yang berkumandang dari pita kaset cetak rompak!

Alasannya mudah saja: murah.

Mencarut Mahathir

Kini selepas lebih 30 tahun sebuah buku mengenai cetak rompak diterbitkan.

Oh ya. Selain melalui cabang seni, aktiviti memerangi lanun cetak rompak ini juga dibuat secara langsung. Rasanya kadang-kadang usaha itu dibuat macam betul-betul berperang.

Wataknya siapa lagi kalau bukan Nasir Jani itu.

Nasir yang satu itu baru-baru ini menjadi pengarah (bersekutu) untuk filem Tombiruo. Lama sebelum tertayangnya Tombiruo - kamu yang sudah akil baligh pada pertengahan 1980-an tahulah - Nasir juga mengarah filem Rozana Cinta 87.

Nasir yang satu itu juga mencatat sejarah sebagai penyebab satu program mingguan secara langsung di TV3 ditamatkan siarannya serta-merta. Puncanya kelakar juga. Dia mencarut semasa program sedang bersiaran.

Semasa menghadiri perbicaraan di mahkamah Nasir yang itu memakai baju mengutuk Dr Mahathir.

Jadi, Nasir yang itulah menulis buku Cetak Rompak Kepala Bapak. Ia muncul lebih 30 tahun selepas Lagu Ella dan kawan-kawan serta Kembara Seniman Jalanan.

Nasir Jani masih tetap Nasir Jani di dalam buku ini. Ia berkisah tentang kegiatan cetak rompak yang diyakininya menyebabkan kerugian begitu besar kepada anak seni (tetapi pada masa sama membawa keuntungan sama besar untuk lanun-lanun yang terlibat).

Cetak Rompak Kepala Bapak muncul ketika semakin kurang orang bercakap mengenainya. Sesekali, adalah. Ia kemudian dikaitkan dengan harta intelek serta sama ada sesuatu produk itu dipatenkan atau tidak.

Buku ini memang menarik. Selain berupa buku biasa, Nasir turut berkisah tentang cetak rompak secara dialog bersama penyanyi Ito Mohd.

Bab berborak-borak mereka disusun di antara bab-bab yang ditetapkan. Mereka berbual tentang dunia masing-masing. Nasir tentang filem dan Ito tentang muzik.

Dari moyang ke piut

Dalam Cetak Rompak Kepala Bapak juga disertakan banyak maklumat penting dan berupa sejarah yang tidak wajar diabaikan. Misalnya bagaimana lagu-lagu popular tanah air disamun sesuka hati oleh lanun cetak rompak.

Dalam keadaan itu penyanyi atau pelakon tetapkan mengharap-harap ihsan ketika lagu - atau filem - mereka laris di pasaran. Sebabnya - yang laris itu adalah produk cetak rompak.

Masalah cetak rompak bukan hanya mula melanda semasa Battle Of The Band mempertemukan Ella & The Boys, SYJ, Bloodshed Rahim Maarof & Whitesteel.

Mengikut Nasir dan Ito, Allahyarham R Azmi serta Datuk M Daud Kilau pun antara mangsa lanun cetak rompak ini.

Seperti perbualan Nasir dan Ito, jika diperhatikan susur galur sejarah cetak rompak ini, ia sudah mencapai ke tahap beberapa generasi. Daripada seorang moyang ke cucu, cicit dan piut barangkali.

Turut menarik perhatian dalam buku ini ialah paparan banyak gambar yang membangkitkan kenangan silam - kalau kamu sudah akil baligh pada 1980-an itulah.

Nasir serta Ito juga bertemu Dr Mahathir sebelum naskhah Cetak Rompak Kepala Bapak ini dicetak. Mereka berjumpa pemimpin pembangkang itu kerana mahu sekali lagi menegaskan bahawa isu cetak rompak perlu ditangani oleh orang politik.

Apakah hasilnya? Kamu cari Cetak Rompak Kepala Bapak dan baca.

Seperti yang saya katakan tadi, Nasir Jani penulis Cetak Rompak Kepala Bapak ini ialah Nasir Jani yang tidak berapa berbeza daripada era dulu.

Semasa membaca buku ini kamu akan berjumpa beberapa perkataan berkaitan hal ehwal bawah pusat beberapa kali. Cuma perlulah difahami, ia berlaku kerana luahan kemarahan Nasir kepada isu yang tidak selesai-selesai selepas lebih 30 tahun.


Baca 'Brader, kita mesti terus hidup...' 30 tahun kemudian


Cuma buku ini juga ada sedikit kelemahan suntingan. Kesilapan format atau ejaan dapat dikesan di sana dan sini.

Khabarnya Nasir sedang menyiapkan satu lagi buku. Sepatutnya dijual juga sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sekarang. Ia mengenai pelbagai isu seni semasa, serta ditambah dengan kisah di sebalik tabir pembikinan Tombiruo. Tunggulah.

Sementara itu Cetak Rompak Kepala Bapak sudah memang sedia dijual di PBAKL sekarang.

  • Judul: Cetak Rompak Kepala Bapak
  • Penulis: Nasir Jani
  • Penerbit: Thukul Cetak (2018)
  • Tebal: 195 halaman
  • Harga: Tidak tercatat

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS