PRU14 | Lebih sedikit dari seminggu, Malaysia akan mengundi untuk memilih parti yang mereka rasakan paling cocok menjadi kerajaan mengikut aspirasi masing-masing.
Untuk menarik sokongan setiap parti tampil mengemukakan ikrar masing-masing melalui dokumen dikenali sebagai manifesto.
Dalam persaingan menabur janji muluk-muluk untuk mendapat perhatian, simpati dan sokongan pengundi itu, Ito Mohd berasa kecewa.
Kata penyanyi blues itu tiada mana-mana parti pun menyentuh golongan penggiat seni.
“Satu saya nak tegur. Dalam manisfesto mana-mana parti - baik BN atau Pakatan Harapan (HARAPAN) tiada satu pun yang menyebut bab artis.
“Kami juga golongan yang menyumbang kepada negara termasuk ada yang sama-sama turun padang membantu berkempen dalam sesebuah pilihan raya,” katanya kepada Malaysiakini.
BN mengumumkan manifesto mereka bagi menghadapi PRU ke-14 dengan menawarkan 14 teras dan 354 inisiatif yang digariskan dalam buku setebal 220 muka surat.
Lupa atau apa
Antara sektor yang disentuh ialah penduduk luar bandar, sektor pengangkutan awam dan bantuan memiliki rumah pada harga berpatutan.
HARAPAN pula membentangkan ikrar mereka dengan menjanjikan 10 perkara daripada lima teras utama. Antaranya berikrar menangani kenaikan kos sara hidup, menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mentasbilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.
Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS pula menyenaraikan sembilan teras.
Ito yang turut mempopularkan lagu-lagu rakyat bersama Blues Gang berpendapat, manifesto yang baik ialah manifesto yang mempunyai ciri-ciri membangkitkan keinginan rakyat memilih sesebuah parti politik dan wakil rakyat mereka.
“Saya tidak tahulah mereka lupa atau pun apa. Sebagai penggiat seni juga ingin melihat perkara itu dalam mana-mana kandungan manifesto,” katanya
Dalam perkembangan lain, Ito yang masih terus aktif dalam muzik genre blues itu kini tampil membawa lagu berat mesej kritikal sosial seperti biasa dilakukannya sejak 1998.
Lagu berjudul Gombak Kita Setia itu disiarkan secara rasmi sehari sebelum proses penamaan calon pada 28 April lalu.
Menjelaskan lebih lanjut, Ito yang turut bertindak sebagai penggubah lirik dan komposer lagu itu berkata, Gombak Kita Setia adalah sebuah lagu yang “ringkas.”
“Ia dibuat untuk calon PKR di Gombak Setia, Hilman Idham.
“Ia mengajak orang ramai untuk turun mengundi. Lagu berkenaan bukannya mengutuk sesiapa pun,” katanya yang pernah menetap di sekitar kawasan itu bermula 1980-an.
Ito kini menetap di Tampin, Melaka dan akan mengundi di sana pada PRU-14 yang bakal berlangsung 9 Mei depan.
Dia pernah mempopularkan lagu Sakit Sakit Sakit bersama Blues Gang itu berkata, dia tidak terikat dengan mana-mana parti politik dalam mengeluarkan hasil kreatifnya melalui lagu.
“Lagu dihasilkan itu bukan semata-mata berpihak kepada satu parti. Saya amat terbuka sekiranya parti politik lain seperti BN, PAS atau sebagainya berminat untuk menggunakan khidmat saya dalam lagu kempen mereka,” katanya.