Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelawak veteran disabitkan kesalahan merogol
Diterbitkan:  Apr 27, 2018 7:45 PM
Dikemaskini: 11:50 AM

Akhirnya juri sepakat memutuskan pelawak dan pelakon veteran Bill Cosby bersalah atas tiga tuduhan melakukan serangan seksual bertahun-tahun lalu.

Sabitan itu memungkinkan Cosby terpaksa mendekam di dalam penjara untuk tempoh yang lama kerana peruntukan undang-undang menyediakan hukuman penjara sehingga 10 tahun bagi setiap kesalahan.

Aktor terbabit dibicarakan atas kesalahan membabitkan dadah dan menyerang bekas pemain bola keranjang Andrea Constand di rumahnya di Philadelphia pada 2004.

Bagaimanapun, hakim memerintahkan Cosby - pelakon kulit hitam yang suatu ketika dulu pernah menjadi idola golongan minoriti untuk berjaya di Hollywood - bebas sehingga hakim membuat keputusan mengenai hukuman yang layak ke atasnya.

Selain menjadi pelakon, Cosby, 80, juga seorang penulis.

Semasa di mahkamah hari ini Cosby gagal mengawal perasaan apabila pendakwa raya memohon supaya mahkamah tidak membenarkan dia diikat jamin.

Pendakwa dalam hujahnya berkata pelakon veteran terbabit sepatutnya ditahan kerana statusnya sebagai “seseorang yang mempunyai kekayaan tidak terhingga” dan boleh melarikan diri pada bila-bila masa menggunakan jet peribadi.

Yakin tak bersalah

“Dia tidak mempunyai jet!” sampuk Cosby sambil menambah dengan kata-kata kesat ditujukan ke arah pendakwa terbabit.

Seorang daripada mangsa Cosby, Lili Bernard berkata “keyakinannya terhadap manusia kini kembali pulih" dengan sabitan mahkamah tadi.

“Kami amat gembira kerana akhirnya dapat menyatakan bahawa wanita boleh dipercayai dan bukan untuk #MeToo saja tetapi juga dalam undang-undang mahkamah,” kata peguam Gloria Allred.

Menurut BBC, perbicaraan itu adalah kali kedua melibatkan aktor berkenaan selepas juri gagal mencapai keputusan pada Jun tahun lalu.

Pada awal perbicaraan semula di Pennsylvania, laporan mendedahkan Cosby pernah membayar Andrea hampir AS$3.4 juta dalam satu penyelesaian sivil yang dibuat pada 2006.

Kejadian berlaku sewaktu Andrea masih bekerja sebagai pengarah operasi untuk kumpulan bola keranjang wanita di Universiti Temple, Philadelphia.

Semasa memberi keterangan di mahkamah, dia pergi ke kediaman Cosby untuk membincangkan hal peletakan jawatan. Ketika itu kata Andrea, Cosby adalah rakannya.

Kononnya mahu membantu melegakan ketegangan dihadapi Andrea, Cosby memberinya tiga biji pil biru yang disangkakan wanita itu penawar semulajadi.

Beberapa minit kemudian, Andrea mengalami penglihatan kabur dan tidak sedarkan diri.

Apabila terjaga, mangsa mendapati Cosby sedang meraba-raba payudaranya dan memperkosanya. Pil biru yang dimakan tadi menyebabkan Andrea hilang upaya untuk melawan.

Tarik ijazah kehormat

Andrea melaporkan serangan terbabit, tetapi peguam daerah enggan membuat dakwaan. Kes itu kemudian dibuka semula pada 2015.

Bekas model AS Janice Dickinson antara mangsa yang memberi keterangan.

Kata Janice, Cosby memberi dadah sebelum merogolnya di sebuah hotel pada tahun 1982. Ketika itu Janice berusia 27 tahun.

Bapa kepada lima anak itu itu popular melalui rancangan televisyen pada 1980-an, The Cosby Show.

Sekurang-kurang 60 wanita sejak lima dekad lalu tampil membuat tuduhan dan mengaku menjadi mangsa serangan seksual pemenang anugerah Emmy itu.

Namun, tuduhan berkenaan tidak dapat diambil tindakan lanjut kerana terbatal akibat tempoh masa yang melebih had ditetapkan undang-undang.

Beberapa mangsa turut hadir untuk menyaksikan Cosby dalam kandang pesalah, dan apabila keputusan diumumkan mereka tidak dapat mengawal dari mengalirkan air mata.

Bagaimanapun, peguam bela Cosby, Tom Mesereau menegaskan “perjuangan belum berakhir” dan menambah dia percaya anak guamnya itu tidak bersalah malah bercadang untuk memfailkan rayuan.

Beberapa jam selepas keputusan itu, Universiti Carnegie Mellon di Pittsburgh, Pennsylvania mengumumkan bahawa gelaran kehormat yang dianugerahkan Cosby pada tahun 2007 dibatalkan.

Begitu juga The University of Notre Dame di Indiana yang membatalkan gelaran kehormat yang dianugerahkan kepada Cosby pada tahun 1990.

Salah sebuah universiti yang pernah melantik Cosby sebagai pemegang amanahnya berkata keputusan mahkamah berkenaan "memberi alasan tambahan" untuk mereka menilai semula ijazah kehormat yang diberikan kepada pelakon itu sebelum ini.

Temple University juga memberitahu, mereka "menghormati" keputusan juri ke atas Cosby.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS