Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Cosby beri pil biru sebelum rogol bekas model
Diterbitkan:  Apr 13, 2018 12:38 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Bekas supermodel Janice Dickinson membuat pengakuan diberi dadah sebelum dirogol pelakon komedi terkenal, Bill Cosby di sebuah kediaman di Lake Tahoe pada 1982.

Keterangan Janice sama seperti kisah lain diceritakan wanita-wanita yang pernah menjadi mangsa kerakusan nafsu serakah pelakon itu sewaktu mereka dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan semula kes serangan seksual terbabit.

“Saya mahu memukul, menumbuknya (Cosby) di muka. Saya berasa marah, hina, jijik dan diaibkan,” jelas model yang mencipta nama sekitar 1970an hingga 1980-an itu pada perbicaraan semalam.

Cosby yang memainkan watak sebagai America’s Dad dan The Cosby Show itu sedang dibicarakan di Pennsylvania untuk kali kedua atas kesalahan memberi dadah serta melakukan serangan seksual ke atas bekas rakan sekerja Andrea Constand, 45, pada 2004.

Daripada semua 50 wanita yang mendakwa Cosby melakukan pencabulan yang berlaku selama beberapa dekad itu, kes Andrea satu-satunya yang terlalu lama untuk dibicarakan.

Malahan, perbicaraan pertama Cosby berakhir pada Jun 2017 berakhir selepas juri menemui jalan buntu. Cosby dituduh memberi pil khayal kepada Andrea dan menyerangnya di rumah mangsa berhampiran Philadelphia.

Aktor berusia 80 tahun itu bagaimanapun menafikan tuduhan serangan tidak senonoh dilakukan ke atas Andrea malah memberi alasan ia adalah persetubuhan dengan persetujuan bersama.

Peguam cosby turut melabel Andrea sebagai seorang pisau cukur.

Janice, 63, adalah saksi keempat daripada lima wanita yang menuduh dibenarkan Hakim Daerah Montgomery Steven O’Neill untuk memberi keterangan kepada juri di mahkamah Philadelphia

Senario diceritakan sama seperti tiga mangsa lain, Janice berkata Cosby menghubunginya dengan niat kononnya ingin membantu mengembangkan karier.

Menurut Janice, Cosby menaiki penerbangan ke Lake Tahoe tempat dia bertemu Cosby dan pengarah muziknya untuk menikmati makan malam sebelum dia mengadu mengalami senggugut.

Cosby kemudian memberikan sebiji pil berwarna biru dan kemudian membawa Janice masuk ke bilik.

“Saya benar-benar berasa pening, apabila bercakap, ia bukan perkataan yang keluar dari mulut. Kami juga tidak membincangkan perihal karier saya,” katanya.

Janice kemudian menceritakan detik-detik Cosby berada di atas tubuhnya pada malam itu.

“Saya ingat bagaimana bau nafasnya, rasa ciumannya, cerut dan ekspreso. Seorang lelaki bergelar bapa yang mempunyai isteri dan lima anak, ia gambaran yang amat salah sama sekali,” katanya yang menemui kesan air mani di celah kakinya keesokan hari.

Janice mengaku dia tidak membuat laporan ke atas serangan terbabit kerana bimbang kariernya musnah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS