Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana puisi Ibu Indonesia anak Sukarno menangis
Diterbitkan:  Apr 4, 2018 6:04 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Dengan titisan air mata, anak presiden pertama Indonesia hari ini memohon maaf kerana sajak yang dibacanya didakwa menghina Islam.

Menurut Sukmawati Soekarnoputri sajak Ibu Indonesia yang dideklamasikannya pada satu majlis rasmi minggu lalu itu bukan diniatkan untuk mempersenda agama.

"Dengan ini saya mohon maaf zahir dan batin kepada umat Islam di Indonesia, khususnya bagi yang berasa tersinggung terhadap puisi," katanya sambil menangis.

Permohonan maaf itu dibuatnya pada sidang media di Cikini, Jakarta hari ini.

Sebelum ini beberapa pihak sudah membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai sajak yang disampaikan Sukmawati, 66, sempena Minggu Fesyen Indonesia 2018.

Ia dihasilkan sebagai penghargaan kepada salah seorang pereka fesyen kebaya paling terkenal di negara itu, Anne Avantie.

Sukmawati adalah adik kepada presiden kelima Indonesia, Megawati Soekarnoputri.

Berbeza daripada kakaknya yang mengetuai Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan, Sukmawati memilih organisasi sendiri sebagai wadah perjuangan politiknya iaitu Parti Nasional Indonesia yang kemudian diubah namanya menjadi PNI Marhaenisme.

Ada beberapa ungkapan dalam sajak "Ibu Indonesia" itu yang menimbulkan kemarahan ramai. Antaranya:

Aku tak tahu syariat Islam
yang kutahu sari konde (sanggul) ibu Indonesia sangatlah indah
lebih cantik dari cadar dirimu
gerai tekukan rambutnya suci
sesuci kain pembungkus ujudmu

Aku tak tahu syariat Islam
yang kutahu suara kidung ibu Indonesia sangatlah elok
lebih merdu dari alunan azanmu
gemulai gerak tarinya adalah ibadah
semurni irama puja kepada Ilahi
nafas doanya berpadu cipta

Kata Sukmawati sebagai seniman dan budayawan dia menyampaikan sajak berkenaan atas kapasiti peribadi dan tidak bertujuan menghina Islam.

"Saya seorang Muslim yang bangga dengan keislaman saya," katanya.

Salah seorang individu yang membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai Sukmawati ialah pemimpin Parti Hasrat Nurani Rakyat (Hanura) Amron Asyhari.

Sementara itu pemimpin pertubuhan Muhammadiyah Abdul Mu'ti mengajak semua umat Islam memaafkan Sukmawati.

Katanya Sukmawati memang tidak berniat untuk memperlekehkan Islam melalui sajak berkenaan.

"Saya rasa Sukmawati tidak bermaksud menghina Islam, sebaliknya mahu bangsa Indonesia tetap memelihara budaya dengan sentiasa berbusana dan berbudaya nasional.

"Mengenai dengan kata-kata azan yang tidak merdu itu, mungkin azan yang biasa didengarinya memang tidak merdu," kata Mu'ti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS