Filem Dukun yang bocor di internet sekitar Januari lalu dikatakan menjanjikan penamat yang berbeza apabila ditayangkan secara umum bermula 5 April ini.
Sebaik poster filem seram itu heboh diperkatakan malam tadi, pengguna alam siber mula berspekulasi berhubung penamat yang bakal disajikan kepada penonton di pawagam.
Ini memandangkan filem itu telah dimuat naik di beberapa media sosial. Justeru ramai merasakan penerbit akan menyediakan sesuatu yang berbeza.'
Spekulasi itu bermula apabila iklan acah rasmi Dukun memaparkan beberapa adegan yang dikatakan tidak pernah dilihat sebelum ini.
Bagaimanapun, penerbit Astro Shaw dan pengarahnya Dain Said ketika dihubungi enggan mengulas lanjut perkara itu.
Dukun sememangnya hangat diperkatakan terutama selepas akhirnya diluluskan untuk ditayang kepada umum.
Filem itu pada mulanya dijadual ditayangkan pada 2006 - 12 tahun lalu - namun atas sebab tertentu tertangguh sehingga kini.
Sementara itu, sebuah potret misteri wanita berpakaian kebaya merah sambil memengang objek seperti rangka manusia menghiasi sekitar lebuh raya utama di Kuala Lumpur, sejak semalam.
"Akhirnya kita bertemu," terpapar tulisan pada potret itu yang sebenarnya poster bagi mempromosikan filem itu.
Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan Dukun disenaraikan sebagai filem lulus oleh Lembaga Penapisan Filem.
Ia mengisahkan perihal manusia yang taksub kepada kekayaan, kuasa dan kecantikan.
Faizal Hussein memegang watak Karim, seorang peguam yang nekad mencari anaknya yang hilang. Pada masa sama, dia ditawarkan untuk membela Diana (Umie Aida) yang terbabit dalam kes pembunuhan seorang ahli politik, Datuk Jefri (Adlin Aman Ramli).
Karim membuat perjanjian dengan Diana yang berkata akan membantu mencari anaknya. Tanpa diduga, ia membongkar kisah gelap yang mengubah perjalanan hidupnya.
Filem itu diinspirasikan daripada kisah Datuk Mazlan Idris, seorang ahli politik yang dibunuh secara kejam oleh Mona Fandey, pada 1993.
Mona Fandey didakwa mengamalkan ilmu hitam dan mempunyai kuasa ghaib untuk menunaikan hasrat tertentu.