Kisah seram yang diadaptasi daripada kes bunuh berprofil tinggi, Dukun disenaraikan sebagai filem lulus oleh Lembaga Penapis Filem (LPF).
Melalui semakan pada pangkalan data LPF, filem arahan Dain Said yang sepatutnya ditayangkan pada 2006 itu mula diluluskan sejak 8 Mac lalu dengan klasifikasi P13.
Manakala trailer Dukun diluluskan pada 23 Mac lalu.
Ini bermaksud, Dukun bakal ditayangkan di pawagam pada bila-bila masa.
Filem dibintangi aktres Datin Paduka Umie Aida yang membawa watak sebagai Diana Dahlan itu sebelum ini sering dispekulasi media sebagai tidak diluluskan atau diharamkan daripada tayangan LPF.
Bagaimanapun, menurut Pengerusi LPF, Mohd Zamberi Abdul Aziz perkara itu tidak benar sama sekali.
“Lembaga Penapis Filem selama ini memang tidak pernah mengharamkan Dukun dari ditayangkan di mana-mana pawagam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dalam hal ini, bagi filem yang sudah berusia melebihi 10 tahun, pemunya atau penerbit biasanya perlu memohon pengklasifikasian semula mengikut garis panduan baru yang diwujudkan pada 2010.
Untuk rekod, Dukun pernah diluluskan untuk tayangan pada 2006 dengan klasifikasi U kerana pada waktu itu pengkelasan P13 masih belum diperkenalkan.
P13 diwujudkan pada 2010 yang memerlukan penonton di bawah umur 13 tahun diberi pengawasan dan bimbingan ibu bapa atau penjaga ketika menonton.
Filem itu juga disifatkan mengandungi unsur seram, menakutkan, adegan atau aksi negatif, unsur suspen dan mengejutkan tetapi tidak berlebihan; jalan cerita yang sukar difahami dan unsur yang boleh mengganggu emosi kanak-kanak.
Dain dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini.
Bocor di internet
Bermula Januari lalu, Dukun yang turut dijayakan aktor Faizal Hussein, Bront Palare dan Adlin Aman Ramli dikesan mulai ‘bocor’ di Internet.
Melalui perkongsian di pautan beberapa akaun Facebook yang terbabit, filem itu dapat ditonton selama 1 jam 35 minit.
Dukun mengisahkan Karim (Faizal) seorang peguam mencuba pelbagai usaha untuk mencari anaknya yang hilang.
Dia akhirnya bertemu Diana dan menjadi peguam yang membelanya dalam kes bunuh Datuk Jefri, seorang ahli perniagaan (Adlin).
Jefri menjadi mangsa terakhir Diana apabila tubuhnya dikerat beberapa bahagian dengan bantuan suami dan juga pembantu bomoh berkenaan.
Filem berkenaan diadaptasi daripada kisah Datuk Mazlan Idris yang merupakan seorang ahli dewan undangan negeri pada tahun 1993.
Beliau menemui Mona Fandey yang didakwa mempunyai kuasa ghaib sebagai bomoh dengan hasrat tertentu.