Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jangan biarkan dikir barat jadi senjata politik

Tidak ada salahnya untuk mana-mana parti politik menggunakan persembahan dikir barat dalam program mereka.

Bagaimanapun bagi penyanyi Halim Yazid dia mengamalkan petua tersendiri jika diminta membuat persembahan.

Petua itu ialah, dia tidak akan memuji sesiapa termasuk pihak penganjur atau mengeji mana-mana parti lain.

“Saya memahami jika parti politik berkenaan bertujuan menjadikan saya sebagai pelaris tetapi mesej yang hendak disampaikan kepada rakyat harus tidak lari daripada berbentuk motivasi saja.

“Sesuatu persembahan juga tidak diikat dengan mana-mana syarat termasuk boleh mengadakan persembahan dengan parti lain. Platform dia, tetapi lagu saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Dikir barat disulami unsur-unsur politik sebaliknya kata Halim memang satu acara kesenian berbentuk hiburan yang tidak asing lagi di Kelantan, negeri kelahirannya.

Bagaimanapun, bagi bekas pegawai kebudayaan Universiti Malaya itu, dikir barat yang dijadikan alat untuk berkempen dan memancing undi boleh merosakkan seni warisan bangsa itu.

“Sayanglah, hancurlah seni itu kerana dikir barat membawa unsur-unsur yang boleh menyedarkan rakyat, ia sepatutnya dikenali sebagai penyampai amanah.

“Orang politik boleh buat apa saja. Ada duit mereka bayar tetapi kita sebagai penghiburlah yang harus menentukan perkara terbaik dengan mesej hendak disampaikan,” katanya.

Amalan budaya tradisional melambangkan identiti sesebuah negara, justeru Halim berharap lagu rakyat itu sentiasa dapat dipelihara jati dirinya.

Katanya, ia harus dipertahankan agar sentiasa relevan dan diingati oleh masyarakat negara ini khususnya golongan belia.

“Pendikir harus mengangkat seni yang orang lain boleh faham dan biarkan ia berkembang.

“Jangan berhabis juta-juta, tetapi seni ini tidak boleh hidup,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS